Home Nasional Jangan tambak kawasan 3 segi emas nelayan

Jangan tambak kawasan 3 segi emas nelayan

Wakil nelayan Pulau Pinang, Zakaria Ismail bercakap kepada media selepas hadir bersama wakil-wakil Nelayan Pulau Pinang, Perak dan wakil NGOS bersama untuk menyerahkan memorandum bantahan projek penambakan Pulau Pinang kepada Perdana Menteri dan beberapa menteri lain dalam perhimpunan rakyatdi Perkarangan Tugu Negara, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Keluasan laut yang mahu ditambak di Pulau Pinang merupakan kawasan segi tiga emas bagi para nelayan sejak zaman berzaman lagi.

Bagi salah seorang wakil nelayan, Zakaria Ismail, 62, dari Pulau Batu Selatan – kawasan itu seolah-olah ‘syurga’ kepada nelayan kerana hasil laut yang banyak.

Bagaimanapun sejak tercetus perancangan tambakan laut di seletan negeri itu, beliau mula risau mengenai masa depan komuniti nelayan yang hanya bergantung sepenuhnya dengan hasil laut apatah yang kaya dengan habitat udang besar, ikan bawal, kembung dan siput.

Menurutnya, kawasan pantai penangkapan hasil laut melibatkan seramai 5,800 keluarga nelayan dan 100 bot nelayan itu melibatkan keuntungan tangkapan bernilai RM3 juta setahun.

“Saya jadi nelayan yang diwarisi dari datuk dan bapa saya di Pulau Batu dan selama ini hasil laut tidak kurang sebaliknya lebih lumayan dengan tangkapan udang besar yang membiak dengan begitu banyak. Jika tinggalkan kawasan ini bermakna buang rezeki emas.

“Namun, sekiranya projek tambakan laut bermula di kawasan tiga pulau terancang itu, hancurlah habitat laut dan juga kehidupan kami umpama membuang kami dari tanaman di tempat subur ke Gurun Sahara yang tak tahu apa hasilnya nanti.

“Itulah tempat hasil makanan dan kehidupan laut, jika dibenarkan tambakan pupus semuanya,” tegas beliau kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau antara 300 nelayan dan akivis alam sekitar dari selatan Pulau Pinang dan utara Perak berkumpul di hadapan Parlimen mendesak kerajaan menolak rancangan tambakan laut.

Menurut Zakaria, tempat tempat melombong pasir di Perak utara dan penambakan laut di selatan Pulau Pinang membawa risiko dan ancaman kepada hidupan nelayan dan laut.

“Saya kaji empat tempat korek pasir untuk tambakan laut berkenaan yang mana melibatkan keluasan 825 kilometer (km) persegi untuk tambakan laut pulau keluasan 20km persegi sahaja.

“Bayangkan jumlah kuantiti pasir yang akan digunakan serta bencana yang bakal menanti nelayan dan kehidupan laut di sana yang berisiko pupus sepenuhnya.

“Saya harap tambakan laut dan korek pasir ini dihentikan kerajaan demi survival nelayan dan hidupan laut,” tegasnya.- MalaysiaGazette