Home Nasional Tunjuk bukti wanita Orang Asli dipaksa ambil suntikan

Tunjuk bukti wanita Orang Asli dipaksa ambil suntikan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mahu dakwaan ada wanita Orang Asli dari Gerik, Perak dipaksa mengikuti program perancang keluarga termasuk disuntik sehingga memberi kesan sampingan dibuktikan segera.

Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, mengikut pemahaman beliau, setakat ini, ia hanya sekadar dakwaan.

“Saya tidak boleh bertindak atas dakwaan seperti itu dan perlu dibuktikan, setakat ini, selagi tidak punya bukti, dakwaan itu perlu dibuktikan.

“Setakat yang saya tahu kita telah ambil tindakan dan langkah ini untuk kepentingan kesihatan dan kebajikan wanita yang mengandung,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen selepas sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Dzulkefley, tidak ada apa apa yang perlu dikhuatirkan dalam perkara berkenaan dan sekiranya terdapat sebarang kesilapan maka ia harus ditangani segera.

Ditanya sama ada dakwaan itu harus disiasat segera, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu bagaimanapun berkata tidak wujud keperluan itu.

“Tak payah la siasat, takkan saya nak pergi siasat begitukan tapi kalau dakwaan itu ada buktinya, maka kita akan perhatikan,” ujarnya sambil menegaskan pihak yang melontarkan dakwaan itu perlu mengemukakan bukti.

Justeru katanya semua pihak akan diberi pemahaman diberitahu baik buruk sesuatu perkara khususnya kakitangan kesihatan yang terlatih untuk memberi penerangan.

“Ini semua Prosedur Operasi Standard (SOP) kita yang mana kakitangan kesihatan dilatih dan tidak ada unsur ugutan dan sebagainya.

“Saya rasa pelik kalau ada orang mengatakan mengugut dan sebagainya.” jelasnya.

Ditanya sekiranya jika wanita Orang Asli tidak berminat untuk program itu dan tidak boleh dipaksa mana mana pihak, beliau menjelaskan memang itu itu adalah amalan SOP kementeriannya.

“Kamu tak boleh paksa apa-apa tapi oleh kerana ada dakwaan dipaksa maka mereka kenalah tampil dengan bukti kukuh.

“Lagipun saya tidak boleh percaya sesuatu yang tanpa bukti kukuh,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette