KEMAMAN – Polis Terengganu menahan bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) berhubung kes penipuan pakej umrah, membabitkan kerugian lebih RM4 juta sejak Disember 2016.
Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata individu itu ditahan di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi tadi oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, setelah menghilangkan diri hampir dua tahun.
“Suspek akan dibawa balik ke Terengganu dan akan dituduh di mahkamah pada Ahad depan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kemaman hari ini.
Menurut Aidi, kes penipuan umrah YBNT itu membabitkan lebih 300 mangsa dan sebanyak 66 kertas siasatan dibuka sejak 2016.
“Suspek sebelum ini telah menyalahgunakan surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan menawarkan pakej umrah secara subsidi kepada guru-guru. Suspek dikatakan telah bertindak berkunjung ke sekolah-sekolah untuk meyakinkan guru-guru berkenaan pakej yang ditawarkan,” katanya.
Aidi berkata selepas mengambil bayaran daripada mangsa suspek dikatakan bertindak menghilangkan diri. YBNT sebelum ini dilaporkan menawarkan pakej umrah dengan harga murah sebanyak RM3,000 seorang.- BERNAMA