Home Nasional Tahanan Nigeria mati terkena sawan – Jabatan Imigresen

Tahanan Nigeria mati terkena sawan – Jabatan Imigresen

Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Tahanan warga Nigeria, Thomas Orhions Ewansiha yang mati semasa dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia didakwa mengalami sawan secara tiba-tiba ketika sedang tidur.

Kejadian itu berlaku lebih kurang jam 12.05 tengah malam pada Julai 2019.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ambulans HUKM tiba dengan seorang Penolong Pegawai Perubatan pukul 12.30 tengah malam dan pemeriksaan mendapati lelaki itu disahkan meninggal dunia.

Sejurus itu, pegawai penyelia dan pegawai bertugas pergi ke Balai Polis Bukit Jalil membuat laporan polis.

“Pihak Imigresen masih lagi menunggu laporan penuh kesihatan sabjek (Thomas) dan laporan penuh bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul memberitahu, jabatan itu telah menerima aduan mengenai kehadiran warga Afrika pada 19 Mac, 15 April dan 19 April 2019 tentang kebanjiran warga Afrika di Desa Aman Puri, Puchong, Kepong, Kuala Lumpur.

Warga-warga Afrika ini disyaki tidak memiliki dokumen dan pas yang sah dan didakwa mengganggu penduduk setempat dengan aktiviti dadah, pelacuran, mabuk di tempat terbuka.

Berikutan itu, pada 4 Julai, kira-kira 10.45 malam, Ops Bersepadu dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan menahan 20 orang warga asing di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Ketika serbuan dijalankan, terdapat warga Afrika berada dalam beberapa kedai makan dan sebahagian besar sedang berkumpul di bawah blok-blok pangsapuri.

Mereka bertindak melarikan diri dan enggan memberi kerjasama untuk pemeriksaan.

Thomas juga telah melarikan diri namun berjaya ditahan.

Dia kemudikan mengemukakan pasport dan hasil semakan Thomas memiliki pas pelajar.

Tindakan Thomas melarikan diri telah menimbulkan keraguan akan ketulenan pas pelajarnya.

Thomas disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 (1)(l) dan telah ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen
1959/63 Akta155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

“Semua Orang Kena Tahan(OKT) dalam operasi tersebut termasuk sabjek telah dibawa ke pejabat Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Semasa proses dokumentasi dijalankan sabjek telah diberi rawatan asas oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia kerana terdapat luka lama dibahagian betis kanan Thomas dan sabjek tidak memaklumkan sebarang jenis penyakit yang dihadapi,” katanya yang memberitahu semua OKT itu dihantar ke Depot Imigresen di Bukit Jalil pada 5 Julai pada pukul 12 tengah hari.

Sepanjang dalam tahanan, Thomas dan tahanan lain dilayan mengikut prosedur operasi standard oleh Jabatan Imigresen. – MalaysiaGazette