KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hairan dengan syarikat pengeluar arak di negara ini yang mendakwa ada mengeluarkan minuman kosong peratus alkohol.
Menurut beliau, sekiranya minuman itu bebas alkohol, ia tidak boleh dinamakan arak sama sekali.
“Saya tidak faham sebenarnya, kalau kosong peratus alkohol, kenapa nak sebut arak.
“Arak adalah arak, kalau bukan arak jangan namakan alkohol halal,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Memaksimumkan Impak Sosial Melalui Penyelesaian Wakaf di Sasana Kijang, Bank Negara hari ini.
Mujahid ditanya mengenai iklan akhbar The Sun bertarikh 8 Julai 2019 yang memaparkan poster minuman zero-alcohol keluaran syarikat Heineken dengan slogan “Now You Can”.
Ia menjadi tular apabila jelas menunjukkan bahawa minuman itu tidak mengandungi alkohol.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, tindakan itu nyata mengelirukan rakyat dengan memaparkan kenyataan bahawa arak tersebut halal kerana tidak mempunyai kandungan alkohol dalam minuman berkenaan.
“Itu mengelirukan rakyat, saya tidak setuju dan kalau betul ada alkohol jangan sebut alkohol halal,” katanya lagi.
Menurut Heineken Malaysia Bhd, minuman yang diberi nama Heineken 0.0 tidak beralkohol untuk memanfaatkan trend alkohol sederhana yang sedang berkembang di negara ini. -MalaysiaGazette