KUALA LUMPUR – Semakin hampir untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil mandat sebagai Perdana Menteri yang ke-8 menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, semakin terserlah persengketaan yang seolah-olah menyangkal peralihan kuasa akan berlaku.
Malah secara ‘lisan’ terdapat persefahamaan bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Terbaru, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara terbuka memberi gambaran tanpa menamakan Anwar sebagai ‘seorang yang tamak kuasa’ ketika diwawancara Nikkei Asian Review.
Dengan pantas, Setiausaha Khas Presiden PKR, R. Suresh Kumar mendedahkan walaupun wawancara tersebut tidak memetik Anwar, namun kenyataan berkenaan dipercayai menyasarkan serangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Menghangatkan lagi keadaan, nama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disebut-sebut sebagai pengganti Dr. Mahathir, dan bukannya Anwar.
Desas desus itu juga bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya dari awal lagi nama Azmin sentiasa disebut, apatah lagi beliau dikatakan antara pilihan Dr. Mahathir.
Bagaimanapun kredibiliti tercalar apabila tersebarnya video seks ‘Sandakan’ yang dikaitkan dengannya.
Apa pun sudah ada kain rentang di beberapa tempat yang mengangkat Azmin sebagai Perdana Menteri dan dikatakan yang dikatakan beliau adalah antara calon tepat bagi tempat tersebut walaupun Anwar seringkali mengeluarkan kenyataan mengatakan kuasa peralihan kuasa akan berlaku seperti dijanjikan.
Kadang kala media juga dipersalahkan kerana kerap memainkan isu peralihan kuasa namun tindak tanduk pimpinan dalam PH khususnya PKR sendiri membayangkan ada sesuatu yang tidak kena.
Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Kebangsaan, Mathis Sarawanan berpendapat walaupun secara umum isu ini nampak remeh, walaupun Dr. Mahathir selalu memberi keyakinan bahawa peralihan kuasa akan berlaku, namun realitinya adalah berbeza.
Kata Mathis, pimpinan dalam PH sendiri sudah mempunyai kem berbeza, satu daripadanya sudah mendesak pengumuman tarikh peralihan kuasa manakala satu lagi seolah-olah mendiamkan diri.
Jelasnya, ada juga pimpinan secara terbuka mengkritik Anwar dari semasa ke semasa sebelum beliau tampil membetulkan persespi tersebut.
“Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa proses peralihan kuasa di antara YAB Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar semakin hari menjadi semakin rumit dan penuh bermasalah.
“Sebenarnya, dalam jangka masa panjang ini tidak memberi sebarang manfaat kepada negara kerana jika janji peralihan kuasa tidak ditunaikan kita akan berdepan dengan kesan buruk kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Jangan cuba memandai tuding jari kononnya kita dalam BN atau UMNO mahupun parti pembangkang lain yang sedang mengeruhkan keadaan, tengok balik siapa yang lakukan ini.
“Kenyataan-kenyataan yang saling bertentangan sendiri sudah berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur apatah lagi datangnya dari mulut pimpinan utama misalnya yang terbaru anak Tun Mahathir sendiri, Mukhriz Mahathir.
“Mukhriz berkata demikian kepada media antarabangsa, sebenarnya pimpinan PH perlu sedar diri isu ini bukan sekadar janji politik, sebaliknya melibatkan kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Hati-hatilah sikit sebelum keluarkan kenyataan, letak dulu kepentingan rakyat terlebih dahulu, bukankah Mukhriz tidak tahu bahawa Anwar akan jadi Perdana Menteri seterusnya? Mengapa beri gambaran seumpama itu? ,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas Mathis yang juga Ketua Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Bayan Baru, Muhkriz juga mendedahkan tidak ada apa-apa ‘deal’ yang mengatakan Anwar akan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri kelak.
“Apakah motif berkata demikian? Adakah hakikatnya hanya tinggal angan-angan sahaja Anwar menjadi Perdana Menteri? Seolah-olah mula kembali 23 tahun Tun Mahathir, Anwar dan peralihan kuasa ini,” katanya.
Mukhriz dalam wawancara itu berkata, beliau tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.
“Saya tidak terlalu bercita-cita tinggi, saya tidak tetapkan bahawa saya mesti menjadi perdana menteri satu hari nanti seperti yang dilakukan orang lain,” katanya tanpa menyebutkan sebarang nama.
Tambah Mukhriz, tiada garis masa tertentu yang dipersetujui bapanya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
“Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.
“Mungkin ada cadangan seperti itu, tapi tiada yang dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan,” ujarnya. –MalaysiaGazette