Home Utama Ada menteri merengek dengan PM – Ketua Armada Johor

Ada menteri merengek dengan PM – Ketua Armada Johor

Norul Haszarul Abu Samah

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Johor, Norul Haszarul Abu Samah menyokong keputusan kerajaan negeri itu dalam mengekalkan had umur maksimum belia kepada 40 tahun.

Haszarul menjelaskan, rakyat Johor mempunyai citra tersendiri dalam menentukan hala tuju dan tidak perlu mengikut budaya dan kaedah pihak lain.

“Ini adalah satu peringatan buat mana-mana kementerian agar tidak terburu-buru dalam membuat keputusan dan hendaklah sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka, mendengar pandangan dan cadangan semua pemegang taruh terutama anak muda di peringkat akar umbi.

“Pihak yang terbabit seharusnya menyedari kesilapan beliau apatah lagi 7 buah negeri setakat ini telah menolak usul berkaitan had usia belia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.

Kenyataan Haszarul itu dipercayai ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan yang juga merupakan Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Abdul Rahman.

Pada 1 Julai lalu, Syed Saddiq membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk mendefinisikan semula istilah ‘belia’ sebagai golongan berumur di bawah 30 tahun melalui pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat.

Setelah membuat pusingan U beberapa kali berhubung isu itu, kerajaan Johor akhirnya mengambil pendirian menolak cadangan itu dan mahu mengekalkan umur 40 tahun sebagai had usia belia.

Selain Johor, negeri lain yang turut mengekalkan 40 tahun sebagai had usia belia ialah Sarawak, Selangor, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Haszarul dalam kenyataannya turut mengingatkan agar menteri yang dimaksudkannya tidak “mencampuri urusan negeri Johor”.

“Tambahan pula, penolakan had umur belia bukan satu sentimen politik tetapi bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 sepertimana kenyataan Menteri Besar Johor.

“Tumpukan perhatian anda pada kementerian yang anda terajui serta serahkan urusan negeri Johor kepada pihak-pihak yang lebih arif akan hal ehwal negeri ini.

“Ingatlah, bahawa Johor akan selamanya menjadi Johor,” katanya.

Dalam kenyataan sama, tanpa menyebutkan nama tertentu berkata, Haszarul mengingatkan “menteri berkenaan” berhenti meminta bantuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri  Muhyiddin Yassin sekiranya gagal menjalankan tugas.

“Saya juga menyeru kepada menteri berkenaan menghentikan sikap mengadu domba atau ‘merengek’ meminta bantuan perdana menteri dan presiden parti setiap kali gagal dengan tugasannya.

“Individu – individu tersebut pastinya mempunyai keutamaan lain yang lebih besar terhadap negara berbanding melayani agenda peribadi anda,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji sama ada wujud campur tangan dari istana Johor berhubung isu had umur belia yang menyaksikan kerajaan negeri membuat dua pusingan U beberapa hari lalu.

Menurut Dr Mahathir Mohamad, kerajaan akan melihat sama ada alasan yang diberikan di sebalik keputusan tersebut boleh diterima atau sebaliknya.

Sementara Muhyiddin, sehari sebelum itu berkata, kerajaan berharap pihak istana tidak campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Johor. – MalaysiaGazette