Home Utama Pandikar Amin mainkan peranan dengan baik, kata Takiyuddin

Pandikar Amin mainkan peranan dengan baik, kata Takiyuddin

Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – Pas menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah memainkan peranan yang cemerlang ketika berhadapan provokasi Ahli Parlimen Pakatan Harapan diketuai oleh DAP semasa perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU 355) semalam.

Malah Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pandikar Amin telah mengambil langkah tepat untuk menangguhkan sidang Parlimen tersebut lebih awal.

Beliau berkata, keputusan itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh sesetengah pihak kerana ia dibuat berdasarkan budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Pandikar Amin telah memainkan peranan yang cukup cemerlang apabila tidak menyebelahi mana-mana pihak selain memberikan ruang secukupnya kepada Pas untuk menghuraikan usul RUU 355 tersebut.

“Kita sudah maklum sidang dewan akan berakhir pada pukul 5.30 petang dan Speaker menangguhkan kira-kira pukul 4 petang.

“Jadi saya rasakan tindakan itu adalah betul, sebab kalau diberi ruang sekalipun hanya seorang sahaja yang sempat menyertai sesi perbahasan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang diketuai DAP mencetuskan provokasi sebaik sahaja sidang Dewan Rakyat ditangguhkan untuk perbahasan RUU itu pada Jun ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pihaknya sudah menjangkakan provokasi tersebut terutama daripada PAN yang dikepalai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad,

“Itu situasi biasa dan kita sudah tahu dan mengenali jelas sikap pemimpin itu (Khalid Samad). Itulah Khalid Samad, masa kita berbahas dia tidak tanya pun, itulah sikap dia,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, pihaknya yakin penjelasan ketika pembentangan RUU tersebut akan memberikan pandangan baharu kepada semua pihak untuk memahami secara mendalam pindaan akta yang dibuat.

“Saya juga terkejut kerana celahan tidak banyak semasa perbahasan dan kalau ada pun semuanya celahan yang baik iaitu arah mereka yang ingin betul-betul memahami akta tersebut.

“Kita yakin dengan penjelasan yang diberikan semalam dan tempoh tiga bulan sebelum sidang seterusnya ini boleh digunakan sebaik mungkin untuk memberikanlebih banyak maklumat mengenai pindaan akta tersebut, terutamanya kepada orang bukan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette