Home Politik Azmin senada dengan Mukhriz, Tun Mahathir perlu lebih masa kemudi negara

Azmin senada dengan Mukhriz, Tun Mahathir perlu lebih masa kemudi negara

KUALA LUMPUR – Walaupun mendapat tentangan daripada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung kenyataan terbuka Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tentang pertukaran Perdana Menteri, namun isu seolah-olah tidak akan berakhir.

Terbaru, Berita Harian melaporkan, Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula senada dengan Mukhriz tentang apa yang diperkatakan dalam wawancara Nikkei Asian Review.

Dalam wawancara itu, Mukhriz berkata, tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

Mohamed Azmin hari ini menyokong kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi tempoh secukupnya untuk memulihkan masalah ekonomi negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak bersetuju dengan kenyataan itu berikutan ia merupakan langkah wajar sebelum Dr Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bakal penyandangnya.

“Setuju,” katanya ketika diajukan soalan pemberita berkaitan perkara itu selepas merasmikan Karnival Kerjaya Graduan Aspire di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi tadi.

Mukhriz sebelum ini, tanpa menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi gambaran seolah pemimpin yang bakal di angkat sebagai Perdana Menteri ke-8 itu sebagai ‘tamak kuasa’.

Namun Muhkriz kemudian ditegur oleh Setiausaha Khas Presiden PKR, R. Suresh Kumar yang meminta beliau menghormati permuafakatan dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam mengeluarkan kenyataan pada masa akan datang.

“Kami warga PKR sangat sedih dan terkejut dengan wawancara Mukhriz yang berkata bahawa dia tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Walaupun Mukhriz tidak menyebut nama Anwar, namun secara umum wawancara itu memberi perspektif bahawa Anwar semakin tamak untuk menjadi Perdana Menteri,” ujarnya. –MalaysiaGazette