LONDON – Para aktivis dan pengguna media sosial mengkritik negara Islam kerana tidak turut serta dalam gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan penahanan dan penindasan secara besaran-besaran yang dilakukan ke atas kaum etnik Islam Uighur dan kaum minoriti lain di wilayah Xinjiang, China
Pada minggu ini sebanyak 22 buah negara mengeluarkan kenyataan bersama menggesa China menamatkan kekejaman hak asasi manusia terhadap kaum Islam di Xinjiang.
Menurut satu kenyataan, negara-negara terbabit ‘khuatir mengenai laporan yang boleh dipercayai mengenai penahanan dan perluasan pemantauan dan had yang dikenakan’ lapor Middle East Eye.
“Kami meminta China memegang teguh undang-undangnya dan obligasi antarabangsa dan menghormati hak asasi manusia serta kebebasan asas termasuk kebebasan beragama atau kepercayaan di Xinjiang dan seluruh China,” katanya.
Kenyataan tersebut ditandatangani 22 buah negara iaitu Australia, Belgium, Kanada, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Iceland, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Belanda, New Zealand, Norway, Sweden, Switzerland, United Kingdom, Austria, Ireland dan Sepanyol.
Pengguna internet dan sosial media menyatakan tentang ketidakhadiran negara-negara Islam dalam senarai itu.
Kedua-dua Amnesty International dan Human Rights Watch menyatakan keadaan minoriti yang berasal dari Turki yang ditahan di pusat tahanan di China.
Menurutu Human Rights Watch, terdapat kira-kira 1 juta umat Islam ditahan di kem ‘pendidikan semula’ yang mana China berkata ia merancang untuk membasmi keganasan dan ekstremis agama.
Terdapat laporan menyatakan bahawa berlaku kematian di kem-kem itu selain penderaan fizikal dan psikologi, keadaan pusat tahanan yang teruk dan kekurangan penjagaan kesihatan.
Human Rights Watch juga menyatakan bahawa beberapa langkah telah dilaksanakan kerajaan yang menggunakan sistem pemantauan berteknologi tinggi dan pengumpulan data biometrik secara besar-besaran bagi mengenalpasti dan menjejak orang ramai di Xinjiang.
Terdahulu pada bulan ini, aktivis Uighur mengkritik Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berikutan kegagalan menyatakan pendirian mengenai penahanan, terutamanya yang membabitkan minoriti Turki Muslim semasa lawatan beliau ke Beijing.
Di Xinjiang, kumpulan hak asasi manusia telah menyatakan bagaimana orang Islam telah ditahan hanya kerana terdapat tanda-tanda mereka menganut agama Islam, sama ada ditunjukkan melalui solat, mamakai pakaian berciri Islam atau memakan makanan halal.
Mereka juga berhadapan dengan keganasan fizikal dan penderaan, malah dibunuh. – Agensi