Home Nasional Rungutan nelayan: Anwar akan jumpa Ketua Menteri Pulau Pinang

Rungutan nelayan: Anwar akan jumpa Ketua Menteri Pulau Pinang

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2019

GEORGETOWN – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menemui Ketua Menteri Pulai Pinang, Chow Kon Yeow bagi membincangkan bantahan kumpulan nelayan di negeri itu yang menentang projek tambahan laut.

Menurutnya, beliau sudah jelas tentang perkara itu dan ternyata rungutan itu merunsingkan beliau.

“Dalam beberapa hari lagi, saya akan temui Ketua Menteri Pulau Pinang dalam tempoh terdekat.

“Saya dengar dan saya dapat maklumat bahawa perkara ini juga merunsingkan saya dan saya prihatin jadi saya rasa bertanggungjawab untuk turun dan dengar sendiri.

“Memorandum yang saya sebut tadi tentang pembangunan, jaminan masa depan nelayan dan setakat yang saya faham tentang tambakan besar-besaran di dunia yang tidak menjamin kehidupan melayan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Sungai Batu, hari ini.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memberitahu tentang impak projek mega itu kepada alam sekitar serta kehidupan nelayan.

Malah, beliau berkata niatnya untuk bertemu nelayan juga telah dinyatakan dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri itu.

“Saya sudah maklum kepada Tun Mahathir dan Ketua Menteri Pulau Pinang tentang kehadiran saya di sini dan tentunya selepas ini saya terpaksa akan kemukakan pandangan saya kerana saya sudah dengar dan menerima semua memorandum ini,” katanya lagi.

Pada Rabu, lebih 100 nelayan berhimpun di pintu masuk Dewan Rakyat bagi menyatakan bantahan terhadap projek tambahkan laut di selatan Pulau Pinang.

Minggu lalu, Kon Yeow mengumumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR dengan 72 syarat.

Ia bagaimanapun terus dibantah Persatuan Nelayan Pulau Pinang kerana melibatkan tambahan kira-kira 1,821 hektar tanah. -MalaysiaGazette