KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memuji keterbukaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan Presiden Pas membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 semalam.
Menurutnya, parti itu mengucapkan terima kasih kerana sanggup menghadapi tentangan daripada ahli parlimen pembangkang khususnya DAP yang jelas akan menolak pindaan tersebut.
“Semoga Allah memberi ganjaran tertinggi kepada Tan Sri Speaker Dewan Rakyat di atas ketulusan, keberanian dan kecekalannya berhadapan kesukaran membenarkan usul persendirian (Ahli Parlimen) Marang dibentangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Pandikar bertindak menangguhkan sesi Dewan Rakyat sejurus Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan selepas berhujah dalam menyokong pindaan yang dibawa Hadi.
Langkah itu mendapat reaksi negatif daripada kalangan ahli parlimen pembangkang yang hampa apabila sesi perbahasan dan pengundian pindaan Akta 355 itu dibawa ke sesi akan datang.
Dewan Rakyat akan menyambung persidangan pada 24 Jun depan dengan menyaksikan proses perbahasan dan pengundian pindaan Akta 355 yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil tempat.
Mengulas lanjut mengenai itu, Nik Abduh berkata, Pas bersetuju dengan tindakan Pandikar untuk menangguhkan sesi perbahasan memandangkan tempoh yang singkat apabila sesi persidangan berakhir semalam.
“Jika tindakan Tan Sri menangguhkan sidang ‘dikira’ sebagai satu kesilapan, ia hanyalah kurang 10 peratus berbanding 100 peratus ketepatan tindakannya membenarkan usul tersebut dibentangkan,” katanya lagi.
Pandikar hari ini menegaskan bahawa tindakan yang diambil beliau wajar memandangkan sesi itu berakhir lewat pagi hari berikutnya sebelum pindaan itu dibentangkan Abdul Hadi. -MalaysiaGazette.