Home Utama EKSKLUSIF: Amidon beri salam, minta izin dengan mayat

EKSKLUSIF: Amidon beri salam, minta izin dengan mayat

Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) PDRM, Supt (B) Amidon Adnan.

KUALA LUMPUR – Sering berhadapan dengan mayat, bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Polis Diraja Malaysia, Supritendan (B) Amidon Adnan berkongsi kebiasaan yang dilakukannya selama lebih kurang 25 tahun terlibat menyiasat kes pembunuhan.

Mungkin dilihat pelik namun beliau tidak segan mengakui bahawa pertama kali berjumpa dengan si mati di tempat kejadian, Amidon akan ‘bercakap’ dengan mayat.

Selain memberi salam tidak kira apa juga latar belakang mangsa yang berhadapan dengannya, Amidon juga meminta keizinan daripada si mati untuk melakukan kerja-kerja penyiasatan.

Ini kerana tugas pemeriksaan yang perlu dilakukannya tidak sekadar memeriksa tempat kejadian malah badan termasuk alat sulit jika perlu.

Meskipun ada yang mengatakan amalannya itu sebagai ‘gila’ namun Amidon tetap meneruskannya kerana perlu menerima ‘kerjasama’ baik mayat untuk mencarik bukti dan petunjuk bagi menyelesaikan kes bunuh.

“Saya tidak kira siapa dia, apa agamanya, saya akan ungkap ‘bismillah’.

“Saya akan tepuk mayat, sentuh kaki, usap kepala. kalau perempuan saya akan cakap “adik.. adik tolong abang, abang tolong adik ya.”

“Pernah dituduh kata orang gila sebab cakap dengan mayat, saya tidak kisah.

“Dalam aspek perempuan (sebagai si mati) contohnya kes rogol bunuh, saya kena periksa apa yang ada di luaran badannya. Kalau terpaksa kena tengok payudaranya saya terpaksa tengok, kalau terpaksa tengok seluar dalam, saya terpaksa tengok,” katanya ketika ditemubual eksklusif bersama MalaysiaGazette baru-baru ini.

Amidon berkata, jiwanya merasa tenang untuk meneruskan tugas menyiasat mayat dan tempat kejadian selepas meminta izin meskipun kepada yang telah mati.

Perkara itu juga diterapkannya kepada semua anggota pasukan CSI yang pernah bertugas di bawahnya sebelum ini.

“Bila saya buat begitu saya rasa saya tidak buat silap. Saya sudah mintak izin daripada mayat sesiapa mayat tidak kira agama . Jadi bila kita bercakap dengan mayat jiwa kita tenang,” tambahnya.

SEMINGGU KENA IKUT JELMAAN SI MATI

Amidon kemudian berkongsi pengalaman diekori jelmaan mangsa yang telah mati akibat kes bunuh di bawah siasatannya.

Beliau berkata ianya diakibatkan oleh kesilapannya berlaku agak kasar dengan mayat sebelum membuat pemeriksaan dan siasatan.

Selepas itu seminggu berturut-turut Amidon kerap diganggu jelmaan si mati yang duduk di belakang keretanya sehinggalah beliau dinasihatkan kenalannya untuk meminta maaf kepada isteri mangsa kes bunuh tersebut.

“Suatu ketika dulu saya amat marah, baru sampai di rumah terima panggilan, saya keluar balik.

“Saya tengok mayat, parang terhunus di dada, cuit kaki dia saya tendang sikit buat CSI bila balik dalam kereta dia duduk belakang kereta, dia senyum saya nampak dari cermin pandang belakang.

“Masuk seminggu setiap kali naik kereta dia duduk belakang…Fikir dua tiga hari macam mana nak cakap, saya akhirnya jumpa isterinya, beritahu saya uruskan mayat kasar sikit dan minta maaf,” katanya lagi.

Justeru itu sehingga hari ini meskipun telah bersara pendiriannya terhadap adab untuk tidak mempersendakan mayat yang diurus kekal.

“Selepas itu sampai hari ini, tidak muncul lagi (jelmaan) . Kita jangan persendakan mayat, penat memang penat,” ujarnya.

BAU MAYAT SEBELUM TERIMA PANGGILAN

Menjadi Ketua CSI untuk satu tempoh yang lama, Amidon sering mendapat petanda awal sebelum menerima panggila telefon daripada jabatannya untuk mengendali kes pembunuhan dan kematian.

Dianggap sebagai kelebihan, beliau akan ‘terhidu’ bau mayat lebih kurang 15 hingga 10 minit sebelum dimaklumkan untuk turun ke tempat kejadian bagi menyiasat suatu kes.

“Mana-mana saya pergi sebelum panggilan masuk (tentang kes kematian) saya akan dapat bau mayat tapi sekarang selepas pencen sudah hilang tidak ada lagi,” menurutnya.- MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

+ posts