KUALA LUMPUR – Cubaan ahli Parlimen pembangkang menghalang Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendirian pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 lebih menjadi tumpuan berbanding huraian RUU355 itu sendiri.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dilihat bersungguh-sungguh cuba menghalang Abdul Hadi dengan melenggah-lengahkan masa.
“Penasihat DAP, Lim Kit Siang, cuba melengahkan masa dengan mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul persendiriannya mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Pandikar yang menangguhkan sidang Dewan Rakyat lebih awal dan tidak memberi laluan terhadap usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dibahas.
Penangguhan itu mendorong ahli Parlimen pembangkang bangkit mengecam keputusan itu kerana tidak diberi peluang membahaskannya.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman juga berkata cubaan itu semakin jelas apabila ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pula mempersoalkan kewajaran RUU355 diteruskan setelah Pandikar menerima writ pemula Tawfik Tun Dr Ismail bagi menghalangnya.
“Cubaan Gobind memanjangkan isu ini dengan mengaitkannya dengan keputusan Pandikar menolak perbincangan mengenai isu 1MDB di mahkamah juga ditepis dengan baik oleh Pandikar,” katanya.
Katanya, halangan itu turut dilakukan oleh beberapa ahli Parlimen PKR seperti Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, Gooi Hsiao Leung (Alor Setar) dan N.Surendran (Padang Serai).
“Tindakan keras pemimpin PKR ini membuatkan banyak kepala menggeleng kerana ia melanggar keputusan PKR menerima dan mengiktiraf hak Abdul Hadi,” katanya.
Tambahnya, tindakan Ahli Parlimen Amanah-Shah Alam, Khalid Samad yang berterusan tidak berpuas hati apabila Parlimen ditangguhkan menimbulkan banyak keraguan atas komitmen Pakatan Harapan mempertahankan Islam.
“Tindakan pemimpin PKR tentunya akan menjadikan tuntutan supaya Pas memutuskan kerjasama politiknya dengan PKR menjadi lebih kuat,” jelasnya.
Beliau turut berkata, gelagat penuh emosi Kit Siang yang mempersoalkan sokongan MCA, MIC dan Gerakan ke atas mandat kerajaan yang diterima oleh Pandikar yang menunjukkan keterdesakan beliau untuk menghalangnya.
“Ia sekaligus Kit Siang dilihat mempolitikkan isu ini hingga memaksa Pandikar menunjukkan ketegasan yang memaksa Kit Siang akur,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, peristiwa di Parlimen semalam telah menyerlahkan sikap sebenar pemimpin pembangkang.
“Mereka akan menentang apa sahaja yang memihak kepada Islam sehingga sanggup memanipulasi apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette