Home Politik Akta Hasutan relevan kawal keamanan

Akta Hasutan relevan kawal keamanan

Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Akta Hasutan 1948 masih kekal relevan sebagai satu set undang-undang untuk mengawal keharmonian dan keamanan Malaysia.

Namun jelas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Mohamed Aris, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin agresif untuk memansuhkan akta itu sejak kes seorang pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor.

Padahal kata beliau,  Akta Hasutan itu merupakan undang-undang signifikan dalam memastikan kestabilan politik serta memelihara keharmonian negara yang berbilang kaum ini.

“Akta ini juga berperanan sebagai pelindung kepada tiang seri Perlembagaan Persekutuan supaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menghormati setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sejak kes Wan Ji, ramai pemimpin PH misalnya , Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mendesak kerajaan memansuhkan akta ini dengan segera.

“Sama juga seperti DAP yang tetap dengan pendirian mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan ia akan membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada gerakan sivil yang radikal dan liberal dalam memperjuangkan agenda mereka,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menambah, walaupun Akta Hasutan itu masih wujud, terdapat segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan berkepentingan yang begitu agresif dalam meletakkan pelbagai tuntutan yang bercanggah dengan norma dan budaya masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu Islam.

Tegasnya, ketiadaan Akta Hasutan 1948 akan memberi peluang kepada gerakan pluralisme agama, pendukung liberal, penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pelbagai lagi menggunakan ruang demokrasi tanpa sebarang sekatan dan had dalam memperjuangkan kepentingan mereka.

“Tindakan mereka ini akan menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.

“Pemimpin PH haruslah melihat Akta Hasutan dengan skop yang lebih luas dan peranannya dalam melindungi keharmonian negara,” katanya. – MalaysiaGazette