Saiznya besar, baunya unik dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri. Buah durian juga menghasilkan aroma yang kuat dan amat terkenal di Asia Tenggara dengan gelaran “raja buah”.
Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 cm (6 inci) diameter, dan lazimnya berat buah durian sekitar satu hingga tiga kilogram. Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada baka.
Terdapat pelbagai jenis buah durian yang boleh didapati dipasaran, kebanyakkannya berasal dari negeri Perak, Pahang, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.
Bagi warga kota terutama yang menetap di Kuala Lumpur, amat mudah untuk mereka mendapatkan atau merasai isi durian yang datang dari pelbagai negeri.
Ini kerana terdapat ramai peraih dan peniaga yang menjual buah durian dari pelbagai negeri dan jenis di ibu kota Kuala Lumpur. Harga yang ditawarkan juga berbeza-beza mengikut musim dan kualiti isi durian. Terdapat juga peniaga yang menjual mengikut kilogram dan ada juga yang menjual mengikut biji.
Rata-rata peniaga durian di Kuala Lumpur kelihatan tidak kehabisan stok buah durian. Ini kerana di semenanjung Malaysia, musim buah durian berbeza bagi setiap negeri. Jadi penjualan buah durian dapat diteruskan kerana sentiasa ada buah baru yang tiba dari pelbagai negeri.
Selain itu dengan kemajuan teknologi, pelbagai baka-baka pokok durian yang baharu dihasilkan serta berbuah sebanyak dua kali setahun.
Selain dari isi durian dinikmati secara terus, terdapat juga gerai-gerai disekitar Kuala Lumpur yang menawarkan cendol berisi durian segar. Kini penggemar durian tidak perlu menunggu terlalu lama bagi setiap musim buah durian bermula dan dapat menikmati isi buah durian dengan pelbagai cara seperti cendol isi durian segar. Ini kerana hampir setiap negeri pengeluar buah durian berbuah dua kali setahun dan berbeza bulan.