Home Politik Ahli Parlimen PH tak halang bentang cuma tak mahu tangguh

Ahli Parlimen PH tak halang bentang cuma tak mahu tangguh

Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Lain pula bunyinya.

Hari ini ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak menghalang Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355 dibentang di Dewan Rakyat.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, wakil rakyat pembangkang cuma menyoal tentang peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan meminta RUU355 dibahas supaya tidak ditangguh lagi.

Ia, katanya tidak boleh dianggap sebagai menentang RUU355, menolak syariah atau menolak Islam.

Sebaliknya kata Saifuddin, perjanjian PH yang ditandatangani keempat-empat parti jelas menyatakan bahawa parti-parti gabungan menjunjung Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 3 iaitu kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tidak timbul isu ada Ahli Parlimen PH menghalang RUU355 daripada dibentangkan.

“Sebelum RUU355 dibentangkan oleh YB Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), apa yang berlaku ialah beberapa Ahli Parlimen PH menimbulkan soalan tentang peraturan mesyuarat kepada Speaker.

“Ini perkara lazim dan dibenarkan oleh peraturan Dewan sendiri. Ia bukan soalan kepada YB Marang atau RUU355. Ia soalan yang ditujukan kepada speaker.

“Tiada Ahli Parlimen PH yang mencelah atau melakukan apa-apa yang boleh ditafsirkan sebagai menghalang ketika YB Marang membentangkan RUU355 dan ketika ia disokong oleh seorang lagi YB daripada PAS,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, ahli-ahli Parlimen PH menghormati hak Abdul Hadi untuk membawa usul persendirian dan membentangkannya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dan membantah tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang telah menangguhkan mesyuarat pada hari semalam dengan mengejut tanpa memberi peluang ahli Parlimen untuk membahaskan usul persendirian yang dibentangkan oleh Abdul Hadi.

“Tindakan mengejut ini amat tidak munasabah kerana ia dilakukan pada jam 4 petang. Ini kerana waktu lazim mesyuarat ialah sehingga jam 5.30 petang.

“Lagi pun, untuk perkara penting seperti ini, Dewan Rakyat boleh sahaja bersidang sehingga lewat malam, contohnya, dewan bersidang sehingga hampir jam 5 pagi pada hari sebelumnya.

“Tindakan speaker ini menghina Dewan. Ia juga menyebabkan perbahasan atas RUU355 tertangguh sekali lagi, iaitu kali ketiga. Ini membawa fitnah , iaitu seolah-olah mempermainkan RUU355,” tegasnya.

Pindaan RUU355 akhirnya dibentang Hadi di akhir terakhir Sidang Dewan Rakyat semalam selepas tertangguh dua kali.

Pindaan itu bertujuan memperkasa Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia ada tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

RUU355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016, tetapi ditangguhkan dan versi yang disemak semula pula dibentangkan pada November 2016.

Pindaan berkenaan dibentangkan Hadi kira-kira setengah jam sebelum Ahli Parlimen pembangkang khususnya DAP bangun menimbulkan kekecohan.

Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan Pandikar Amin selepas Takiyuddin selaku Ahli Parlimen Kota Bharu menyokong usul berkenaan.

Tindakan itu mendatangkan marah dikalangan Ahli Parlimen terutamanya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. -MalaysiaGazette.