SRIHARIKOTA – Pelancaran roket ke bulan oleh India dihentikan kurang satu jam sebelum ia berlepas disebabkan oleh masalah teknikal.
Jika pelancaran itu berjaya, India akan menjadi negara keempat membuat pendaratan di permukaan bulan selepas Amerika Syarikat, China dan Rusia.
Misi Chandrayaan-2 bernilai AS$150 juta itu bertujuan untuk mengumpulkan data mengenai air, mineral dan formasi batu di bulan.
Satelit buatan India dijangka dilancarkan pada jam 02:51 waktu tempatan pada hari Isnin (21:21 GMT Ahad) dari stesen angkasa Sriharikota di pantai timur India.
Tetapi, detik itu terpaksa ditangguhkan 56 minit sebelum dilancarkan selepas “masalah teknikal dikesan dalam sistem kenderaan pelancaran,” kata Isro.
Masa pelancaran baru akan diumumkan kemudian.
Ketua Indian Space Research Organisation (Isro), K Sivan berkata, misi ini sangat kompleks.
Lander dan rover dijangka menyetuh berhampiran kutub selatan bulan pada awal September, menjadi kapal angkasa pertama yang mendarat di rantau itu. – MalaysiaGazette