Home Seni Hidup Pameran Rasulullah SAW sasar 150,000 pengunjung

Pameran Rasulullah SAW sasar 150,000 pengunjung

Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang akan bermula 22 Julai ini hingga 4 Ogos depan.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 150,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang akan bermula 22 Julai ini hingga 4 Ogos depan.

Pameran anjuran sepenuhnya Manhajj Brothers Sdn. Bhd. (Manhajj Brothers) ini akan menampilkan lebih 49 artifak Rasululllah SWA, artifak Sahabat RA serta artifak kerajaan Uthmaniah yang berusia 1,400 tahun.

Pengarah Projek Pameran, Razali Bachik berkata, pameran ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

Beliau berkata, pameran ini juga bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi dan pengetahuan kepada pengunjung mengenaià kegemilangan tamadun Islam.

“Antara artifak Rasulullah SAW yang boleh dilihat ialah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, pasir makam dan kunci makam tersebut.

“Artifak lain adalah pedang Muaz bin Jabal, pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan kunci Makam Saiditina Fatimah.

“Turut dipamerkan artifak peninggalan Kerajaan Uthmaniah seperti kunci, baju perang, tandu, al-Quran Emas kiswah Kaabah, Kiswah Pintu Taubat di mana semua artifak ini merupakan koleksi dari Tanah Arabah seperti Mekah dan Madinah serta negara Yemen dan Turki,” katanya sambil menambah artifak tersebut memiliki sijil dari The Dinar Islamic Museum di Mekah.

BGR_4200
Pengarah Projek, Razali Bachik

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Manhajj Brothers, Mohamad Yusof bin Mohd. Surid dan selebriti Dato’ Adi Putra yang merupakan salah seorang penaja pameran.

Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA itu memasuki penganjuran kali ke-10 yang bermula sejak tahun 2009.

Ia pernah menjelajah ke luar negara seperti Brunei, Singapura selain Padang dan Medan di Indonesia sebelum ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pameran tersebut mendapat sokongan penuh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Sementara itu, Anuar berkata, Kuala Lumpur menjadi lokasi pertama pameran tersebut yang bakal menjelajah di seluruh negara pada tahun ini.

“Tiket masuk hanya RM20 untuk dewasa, RM10 untuk mahasiswa dan RM5 untuk kanak-kanak serta pameran dibuka setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Lebih menarik pameran ini menawarkan cabutan bertuah apabila pengunjung boleh membawa pulang hadiah utama iaitu motosikal Yamaha Y15.

“Cabutan itu diadakan menerusi peraduan ‘Ride To Y-Suku’ di mana pengunjung hanya perlu mengambil gambar di Manhajj Photobooth Rasmi berharga RM15 yang melayakkan mereka mendapat satu nombor bertuah,” katanya. – MalaysiaGazette

WhatsApp Image 2019-07-15 at 17.26.54