Home Nasional Polis akan siasat saranan KJ – KPN

Polis akan siasat saranan KJ – KPN

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) beramah mesra bersama penerima pingat pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Batalion 4 PGA Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2019

SEMENYIH – Polis akan menimbang saranan Khairy Jamaluddin yang mahu pihak berkuasa itu menyiasat laporan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa memfitnah dengan menyatakan wang kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dirompak kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang meneliti laporan polis yang dilakukan Khairy sebelum ini.

“Saya difahamkan saranan yang telah dibuat oleh Khairy Jamaluddin semalam dan akan ambil tindakan dan meninjau situasi ini untuk tindakan lanjut,” katanya selepas menghadiri majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Kem Pasukan Gerakan Am, Batalion 4, di sini.

Semalam di Dewan Rakyat, Khairy yang juga Ahli Parlimen BN Rembau meminta polis meneliti semula laporan polis beliau ke atas Ahli Parlimen Bagan yang pernah mendakwa BN merompak wang GST bernilai RM19.4 bilion pada 8 Ogos 2018.

Semalam,  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengumumkan wang bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion yang didakwa ‘dirompak’ oleh kerajaan dahulu tidak hilang.

Berikutan itu, Khairy mendakwa kenyataan Guan Eng bAHAWA wang gst dirompak adalah tuduhan palsu dan bersifat jenayah yang seharusnya disiasat dan diambil tindakan oleh polis.

Ditanya sama ada Guan Eng akan dipanggil untuk dberi keterangan, Abdul Hamid menjelaskan, setakat ini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat terperinci mengenainya dan akan diputuskan kelak.

“Keperluan panggil Lim atau tidak…memang daripada bumi ke langit ada kemungkinan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan seorang Exco kerajaan negeri Perak Hamid berkata, siasatan kini di peringkat akhir.

Katanya, polis dalam proses mengemaskini kertas siasatan yang sudah berada pada fasa akhir.

“Tindakan mengemas kini kertas siasatan sudah sampai peringkat terakhir dan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (Jabatan Peguam Negara),” katanya yang tidak menolak kemungkinan terdapat arahan lanjut untuk mengemaskini bahan bukti daripada Jabatan Pendaaftaran Negara.

“Kita tunggu sebelum bertindak lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette