KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis unjuran jumlah eksport Malaysia lebih RM1 trilion yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dapat dicapai berdasarkan pemangkin dan prospek ekonomi yang positif.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, bagi tempoh Januari-Mei lepas, Malaysia mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM405.36 bilion, meningkat 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Kita berjaya mencapai pertumbuhan eksport sebanyak 0.3 peratus dalam tempoh enam bulan pertama, dan kita hanya memerlukan peningkatan sebanyak 0.2 peratus pada tahun ini untuk melebihi had RM1 trilion,” katanya pada taklimat media mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Eropah di sini hari ini.
Beliau berkata dengan aliran meningkat semasa eksport dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat, eksport dijangka mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini.
“Seperti yang kita tahu, eksport selalunya lebih baik pada separuh kedua tahun berbanding separuh pertama.
“September dan Oktober biasanya bulan yang baik bagi Malaysia (dari segi eksport) dan saya berharap rundingan perdagangan antara AS dan China akan mencapai persetujuan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, kaji selidik terkini Sage bertajuk ‘We Power the Nation’ menunjukkan 59 peratus perniagaan Malaysia positif mengenai prestasi perdagangan walaupun menghadapi cabaran perdagangan global.
Laporan itu meninjau impak daripada perdagangan antarabangsa ke atas Malaysia, yang turut termasuk data mengenai 3,000 perniagaan di 12 negara.
Naib Presiden dan Pengarah Urusan Sage Asia Arlene Wherrett berkata enam daripada 10 perniagaan domestik optimis perdagangan akan lebih baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong oleh prestasi dan pertumbuhan keuntungan yang baik pada tahun sebelumnya, selain prospek perdagangan antara rantau yang kukuh.
Walaupun pasaran global semasa tidak menentu disebabkan perang perdagangan AS-China, Wherrett berkata kaji selidik itu menunjukkan perniagaan Malaysia terus bergantung kepada rakan dagangan utama seperti China (43 peratus), AS (27 peratus) dan Jepun (26 peratus).
Responden kaji selidik melaporkan dalam tempoh 12 bulan akan datang, pasaran yang pelbagai akan menjadi keutamaan, berdasarkan perdagangan global semasa yang tidak menentu dengan 68 peratus daripada syarikat tempatan menyatakan mereka berminat untuk meninjau pasaran di Asia.
“Selepas Asia, perniagaan Malaysia melihat Australasia sebagai pasaran pilihan yang akan datang (32 peratus), diikuti Eropah (30 peratus).
“Dapatan ini mencadangkan usaha untuk memudahkan pembangunan perdagangan masa depan, melalui program promosi eksport oleh kerajaan atau organisasi sekutu kerajaan, dan kerjasama antara rantau perlu memberi tumpuan kepada benua ini,” katanya. – MalaysiaGazette