KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri mahu menyelesaikan segera dakwaan pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Hussin yang mendakwa dipukul oleh warden ketika ditahan di Penjara Kajang.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman, langkah itu perlu bagi memastikan media tidak terus ‘mengejarnya’ bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan kes berkenaan.
“(Kalau) Ikut saya, lagi cepat lagi bagus, supaya kamu (media) semua tak tanya saya lagi,” selorohnya di lobi Parlimen hari ini.
Awal hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyiasat segera dakwaan Wan Ji itu.
Ini kerana, dakwaan itu serius dan perlu disiasat segera kerana melibatkan jabatan di bawah KDN.
“Saya percaya Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan ambil tindakan supaya siasatan itu dibuat.
“Kalau pengalaman saya di penjara Sungai Buloh tidak (kena pukul) tetapi selalu saya gesa supaya mereka jangan langgar peraturan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini. -MalaysiaGazette