Home Nasional Vell Paari diberi seminggu selesai isu pekerja Tamil Nesan

Vell Paari diberi seminggu selesai isu pekerja Tamil Nesan

AJK PSM, S Arutchelvan serta bersama pekerja Tamil Nesan menunjukkan kain rentang bantahan ketika hadir untuk membuat aduan polis terhadap majikan Tamil Nesan yang membuang pekerja seramai 50 orang tanpa pampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Sudahlah empat bulan gaji tidak dibayar, sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  selama lima bulan dan caruman Perkeso juga belum diselesaikan majikan.

Justeru, Pengarah Urusan Akhbar Tamil Nesan, Datuk Seri S.Vell Paari dan pengurusannya hari ini diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan segera kesemua bayaran tunggakan berkenaan serta pampasan melibatkan seramai 40 orang bekas kakitangannya.

Itu amaran sebahagian besar bekas kakitangan akhbar itu yang tampil membuat laporan polis diketuai bekas ketua pengarangnya, K. Padmanabhan dan jurufoto kanan akhbar itu, M.Sundar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Mereka kemudiannya mendesak polis menyiasat Vell Paari yang juga bekas Bendahari Agung MIC itu kerana mengesyaki berlaku masalah ketirisan dalam pembayaran tunggakan gaji dan caruman itu sejak November sehingga Mac tahun ini dan caruman Perkeso selama 39 bulan.

MGF17072019_TAMIL NESAN ADUAN POLIS07
Jurugambar Akhbar Tamil Nesan, S.M. Sunder bercakap kepada media ketika hadir untuk membuat aduan polis terhadap majikan Tamil Nesan yang membuang pekerja seramai 50 orang tanpa pampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2019

Menurut M.Sundar yang telah berkhidmat selama 35 tahun, mereka memberi peluang kepada majikan sejak diberi surat pemberhentian kerja bertarikh 28 Januari 2019 sehingga hari ini untuk menyelesaikan segala tunggakan.

“Namun awal Mac lalu memorandum diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran tetapi tiada sebarang maklumbalas apabila menteri menerima aduan dan terus ‘mendiamkan’ diri selepas meminta merujuk di pejabat beliau.

“Bila menghubungi Vell Paari dan meminta tunggakan gaji, dia memberi alasan kononnya sudah minta uruskan segalanya tetapi kami tak tahu apa maksud dia dan tidak kenal siapa dan apa peranan peguam dalam isu ini memandangkan soal gaji hanya melibatkan kami dan majikan.

‘Jadi, kami membuat laporan polis kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial PDRM sebagai desakan menyiasat majikan dan pengurusannya dengan tindakan tegas dan memberi tempoh seminggu kepada Vell Paari mencari penyelesaian,” katanya dalam sidang media di hadapan IPD Gombak di sini.

MGF17072019_TAMIL NESAN ADUAN POLIS05
Bekas Ketua Pengarang Akhbar Tamil Nesan, K. Padmanabhan bercakap kepada media ketika hadir untuk membuat aduan polis terhadap majikan Tamil Nesan yang membuang pekerja seramai 50 orang tanpa pampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2019

Dalam pada itu, Padmanabhan menambah, hampir keseluruhan daripada mereka gagal mendapat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh kerana tidak mempunyai caruman KWSP dan Perkeso akibat ketirisan majikan.

Menurutnya, masalah mereka turut dirujuk kepada KWSP dan Perkeso selain Jabatan Buruh untuk tindakan susulan.

“KWSP sejak November 2018 hingga Mac 2019 tak dicarum, Perkeso sejak hujung 2016 hingga Mac 2019 iaitu selama 39 bulan tak dicarum dan dia (Vell Paari) berdolak dalik dalam soal pampasan pula.

“Kebanyakan pekerja yang teraniaya ketika ini berkhidmat lebih 30 hingga 40 tahun di Tamil Nesan dan ditindas dengan notis pemberhentian secara mengejut tanpa sebarang pampasan.

“Saya pula menerima notis LHDN yang mahu heret saya ke mahkamah sebab tidak mengisytiharkan cukai Potongan Cukai Bulanan berjumlah RM4,000 tidak dibayar oleh majikan kami,” keluhnya.

Bekas Penolong Pengarang Tamil Nesan, D.Saraladevi pula memberitahu, dalam perjumpaan dengan kesatuan, syarikat bersetuju dan bersedia membayar pampasan berjumlah RM1.4 juta untuk kesemua kakitangan Tamil Nesan.

MGF17072019_TAMIL NESAN ADUAN POLIS10
Pengarang, D Saraladevi bercakap kepada media ketika hadir untuk membuat aduan polis terhadap majikan Tamil Nesan yang membuang pekerja seramai 50 orang tanpa pampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2019

“Namun dia meminta tempoh tiga bulan untuk menguruskan dan mahu menjelaskan secara ansuran selama sembilan bulan sebelum kami membantah dan minta selesaikan dalam tiga bulan tetapi sehingga hari ini janji secara lisan tanpa hitam putih itu tinggal janji bulan bintang sahaja.

“Majoriti kami kini menjadi penganggur dengan komitmen rumahtangga yang tinggi serta kritikal tetapi syarikat tidak berhubung secara langsung dengan kami sebaliknya memilih pihak ketiga untuk berurusan dengan kami. Ia satu tindakan tidak beradab,” bidas beliau.

Beliau turut mengakui kira-kira 10 wartawan sambilan Tamil Nesan di negeri-negeri juga mempunyai tunggakan bayaran gaji dan tuntutan minimum dari RM13,000 hingga RM30,000.

MGF17072019_TAMIL NESAN ADUAN POLIS02
Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan bercakap kepada media ketika hadir untuk membuat aduan polis terhadap majikan Tamil Nesan yang membuang pekerja seramai 50 orang tanpa pampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2019

Sementara itu, aktivis hak pekerja dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Arutchelvan menyifatkan tindakan pengurusan Tamil Nesan itu satu penindasan berbentuk jenayah perdagangan.

“Akhbar itu bukannya diuruskan oleh orang miskin sejak berdekad lalu sebaliknya orang yang ada kekuatan politik dan berpengaruh yang mengendalikan operasi akhbar dan isu berkenaan (tidak ada wang) tidak seharusnya berbangkit dan saya berharap polis ambil serius menyiasat dengan tegas,” tegasnya.- Malaysiagazette