KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berseloroh ketika mengulas kenyataan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau dengan selamba berkata telah melihat cermin pagi tadi selepas ditanya pemberita mengenai kenyataan sinis oleh Mohamed Azmin yang menyuruhnya melihat cermin untuk bermuhasabah diri.
“Saya ada tengok cermin pagi tadi. Tapi saya fikir tidak adil kerana Mohamed Azmin tidak membaca keseluruhan kenyataan saya, itu bukan isu sebenarnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Anwar berkata demikian sebagai membalas kenyataan pedas Mohamed Azmin susulan cadangannya agar Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu perlu meletakkan jawatan sekiranya video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip dirinya disahkan benar.
Menurut Anwar, cadangan itu bergantung kepada penyiasatan yang dilakukan pihak polis kerana sekiranya tidak bersalah, Mohamed Azmin boleh meneruskan tanggungjawab seperti sediakala.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Mohamed Azmin berkemungkinan tidak membaca kenyataannya itu secara menyeluruh.
“Ketika media bertanya soalan itu, mulanya saya menyebut budaya politik kotor mesti ditolak.
“Kemudian ditanya apa kata jika video itu sahih, maka saya jawab harus letak jawatan seperti mana disebut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas itu.
“Rakan-rakan mengatakan tidak perlu menjawab soalan itu, sebaliknya mengatakan tunggu laporan atau siasatan polis,” ujarnya.
Bagaimanapun, Anwar turut memberitahu beliau langsung tidak mengambil hati dengan ‘teguran’ yang dilakukan Ahli Parlimen Gombak itu terhadap dirinya. – Malaysiagazette
ARTIKEL BERKAITAN: