CHICAGO – Boeing terpaksa menanggung sejumlah AS$ 4.9 bilion menanggung kos penggantungan pesawat 737 Max selepas berlaku dua nahas.
Jumlah yang bakal ditanggung itu akan melenyapkan keuntungan syarikat pembuat kapal terbang terbesar dunia apabila mengumumkan prestasi kewangan sukuan minggu depan.
Dalam satu kenyataan, Boeing juga berkata “anggaran terbaik pada masa ini” ialah 737 Max akan kembali beroperasi dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.
Nahas membabitkan pesawat 737 Max berlaku di Indonesia pada bulan Oktober tahun lalu dan Ethiopia pada Mac lepas. Dua tragedi itu mengorbankan 346 orang mangsa.
Boeing kini menghadapi salah satu krisis terburuk dalam sejarahnya selepas pesawat yang mendapat jualan terbaik terpaksa dibekukan susulan nahas tersebut.
Para penyiasat nahas kini sedang menumpukan usaha ke atas sistem kawalan pesawat dan Boeing sedang bekerjasama dengan pihak pengawal selia untuk menaik taraf perisian model pesawat berkenaan.
Pengilang, yang menghadapi pengawasan ketat terhadap pelepasan pengawalseliaan untuk memboleh pesawat terbang telah mengurangkan kadar pengeluaran bulanan dari 52 hingga 42 ketika syarikat penerbangan menghentikan pembelian.
Boeing berkata, sejumlah AS$4.9 bilion itu akan digunakan untuk membayar pampasan kepada pelanggan Boeing disebabkan gangguan dan kelewatan jadual dalam penghantaran pesawat.
“Boeing mengambil langkah yang sesuai untuk menguruskan kecairan kami dan meningkatkan fleksibiliti imbangan kira-kira ketika melalui cabaran ini,” kata Ketua Pegawai Kewangan Boeing, Greg Smith dalam satu kenyataan.
Juga dalam kenyataan yang sama, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg berkata: “Ini adalah masa yang tepat untuk Boeing. Tidak ada yang lebih penting kepada kami daripada keselamatan kru penerbangan dan penumpang yang terbang dengan kapal terbang kami.
“Penggantungan operasi Max memberi kesan ketara dan impak kewangan pada suku ini mencerminkan cabaran semasa dan membantu menangani risiko kewangan masa depan.”
Katanya, Boeing masih bekerjasama dengan pihak-pihak penerbangan untuk memastikan pesawat 737 Max dapat kembali ke udara pada suku keempat tahun ini. – MalaysiaGazette