DUNGUN – Kehadiran dua ekor harimau yang berkeliaran di sekitar kawasan Kampung Besul Lama, Bukit Besi di sini pagi semalam, menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk terutama tentang keselamatan diri dan keluarga terutama anak-anak kecil dan orang tua.
Walaupun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memberi jaminan haiwan itu telah kembali ke habitatnya di hutan berdekatan petang semalam selain operasi penangkapan juga sedang giat dijalankan, namun ia gagal meredakan kegelisahan penduduk sekitar.
Seorang penduduk kampung Zulkarnain Ismail, 31, berkata beliau amat risau dengan keselamatan isterinya, Suzana Mustafa, 26, yang terpaksa berulang alik hampir setiap hari sejauh lima kilometer dari rumah ke tempat kerjanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM ) Bukit Besi.
Zulkarnain yang bekerja sebagai buruh di lombong bijih Bukit Besi berkata untuk sampai ke tempat kerja Suzana perlu mengambil risiko melalui laluan tepi hutan yang menjadi habitat haiwan liar berkenaan kerana ia adalah satu-satunya jalan ke sana.
“Isteri saya yang sedang mengandung enam bulan masih trauma dengan insiden dikejar harimau ketika dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira 2 petang semalam.
“Ketika kejadian kami menunggang motosikal masing-masing, dengan isteri di hadapan dan saya mengekori dari belakang.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba keluar seekor harimau yang besar dari semak lalu meluru ke arah isteri tetapi berjaya diselamatkan oleh bunyi hon dari sebuah kereta yang menyebabkan harimau itu melarikan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Besul, di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu Zulkarnain berkata isterinya yang bekerja sebagai tukang sapu itu telah memohon cuti selama beberapa hari bagi menghilangkan trauma dan menunggu keadaan reda semula.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Wook Mohd Noor, 63, yang merupakan orang pertama melihat harimau itu berkata buat masa ini dia tidak berani keluar rumah kerana masih teringat-ingat rupa harimau berkenaan.
Wanita itu berkata ini adalah kali pertama dia berhadapan dengan harimau walaupun sering juga mendengar ngauman haiwan berkenaan pada waktu malam memandangkan rumahnya terletak berhampiran hutan.
“Kira-kira jam 7.15 pagi semalam makcik terdengar bunyi bising ayam berketak dari luar rumah dan mulanya sangkakan anjing yang mahu makan ternakan. Tetapi apabila buka pintu terasa seperti nak luruh jantung melihat seekor harimau sebesar anak lembu sedang berdiri tegak hanya kira-kira lima meter jauhnya serta memandang tepat ke wajah makcik,” katanya.
Bagaimanapun, Wook berkata harimau tersebut tidak bertindak agresif terhadap dirinya dan ternakannya sebaliknya hanya berlegar-legar di sekitar rumahnya melebihi satu jam.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abd Malek Mohd Yusof berkata operasi mengesan dan menangkap harimau tersebut dimulakan pada 9.30 pagi tadi dengan kekuatan 22 anggota iaitu pegawai dan renjer.
Beliau berkata dua perangkap menggunakan umpan ayam telah dipasang dalam radius dua kilometer dalam hutan dengan pemantauan 24 jam, manakala satu lagi perangkap akan dipasang petang ini di kawasan yang sama.
Selain itu empat pasukan yang terdiri daripada renjer Perhilitan dan pegawai veterinar yang lengkap dengan peralatan menembak dan ubat pelali telah masuk ke hutan bagi menjalankan aktiviti mengesan dan menangkap haiwan berkenaan.
“Kami akan jalankan operasi pemantauan 24 jam dan operasi akan diteruskan sehingga harimau itu berjaya ditangkap. Tetapi dalam pemantauan kami setakat ini, hanya seekor sahaja harimau yang berkeliaran di kawasan kampung dianggarkan berusia dua tahun dan seberat 60 kilogram,” katanya.
Sebelum ini Dr Abd Malek berkata dua ekor harimau itu yang dipercayai seekor betina dan anak jantannya berkemungkinan haiwan peliharaan berdasarkan sifatnya yang jinak.
— BERNAMA