PUTRAJAYA – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin wajar menggunakan sesi pemukiman PKR yang bermula malam ini sehingga Ahad bagi menyuarakan isi hatinya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan Ahli Parlimen Ampang itu mengeluarkan kenyataan setiap hari tidak akan meredakan keadaan sekarang.
Jelas Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu itu, Zuraida boleh menggunakan sesi pemukiman sebagai plafform terbaik bagi menyelesaikan perpecahan yang didakwanya sedang melanda parti sekarang.
“Zuraida adalah pemimpin kanan parti dan beliau juga adalah peserta pemukiman.
“Adalah lebih molek dan cantik apa-apa pandangan tentang permasalahan parti selama tiga hari sesi ini adalah plafform terbaik.
“Jadi saya suka mengalukan agar dia dapat bersama dalam sesi ini kalau maksudnya ada perpecahan, kalau berlaku apa hendak mengubatnya.
“Itu lebih baik daripada mengeluarkan kenyataan setiap hari dan tidak membantu keadaaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Malaysia @Putrajaya di sini hari ini.
Saifuddin diminta mengulas kenyataan Zuraida yang mengakui PKR sedang berdepan konflik sejak penyebaran klip video intim yang berkaitan dengan seorang menteri Kabinet.
Katanya, ketika inilah masa yang paling sesuai untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengembalikan semula kestabilan dalam parti.
Zuraida juga salah seorang daripada 28 pemimpin PKR yang mengeluarkan kenyataan bersama menegur Anwar semalam yang sepatutnya mempertahankan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada sebarang tuduhan yang dilemparkan, bukan memaksanya meletakkan jawatan baru-baru ini. – MalaysiaGazette