KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang telah kembali beroperasi sepenuhnya selepas dihenti tugas semalam.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) berkata, pihaknya kini masih lagi dalam proses meningkat serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.
Berdasarkan pemantauan sehingga jam 6 pagi tadi, peratusan pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah di tahap 19 peratus dan tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan mengikut kawasan buat masa ini.
Menurutnya, Unit Kualiti Air Selangor telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran.
Hasil siasatan berdasarkan tahap pencemaran bau yang tinggi adalah berpunca dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor dan agensi penguatkuasa yang berkenaan akan membuat pengumuman kepada pihak awam berhubung pencemaran dari kawasan tersebut.
Susulan itu, Syabas mengaktifkan 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi Pili Awam bermula jam 9 pagi hari ini, 20 Julai 2019, Sabtu, bagi mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan – pelanggan yang terjejas.
Katanya, memandangkan insiden ini melibatkan kawasan berskala besar, pihak kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan yang terjejas.
“Kami dengan bantuan agensi – agensi yang berkaitan sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette