Home Utama Tiada rekod kerajaan bayar balik GST sejak Mei hingga akhir tahun lalu

Tiada rekod kerajaan bayar balik GST sejak Mei hingga akhir tahun lalu

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan merupakan pihak yang menyalahgunakan wang tuntutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan bukannya Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa, Menteri Kewangan Lim Guan Eng cuba menyalahkan kerajaan BN dengan menuduh mereka merompak wang kutipan GST sedangkan ia merupakan satu penipuan.

“Oleh kerana penipuan Guan Eng yang nak menutup penyalahgunaan baki wang GST RM22.85 bilion, 13 ahli Parlimen serta pegawai atasan kerajaan perlu menghabiskan masa untuk bermesyuarat dan mengeluarkan laporan PAC ini.

“Oleh kerana Guan Eng ini, 1 Malaysia ditipu,” katanya menerusi kiriman di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan turut melampirkan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri yang diberi kepada PAC mengatakan baki wang GST dalam akaun kerajaan setakat 1 Jun 2018 adalah RM22.85 bilion iaitu lebih tinggi daripada jumlah keseluruhan wang tuntutan GST sebanyak RM19.4 bilion.

“Bermakna ianya cukup untuk membayar semua tuntutan GST. Wang GST tak hilang atau disalahgunakan. Malah, bakinya adalah lebih dari jumlah tuntutan GST,” ujar.

Najib turut memetik laporan PAC yang menunjukkan tiada rekod kerajaan PH membayar balik wang tuntutan GST sejak Mei 2018 selepas mereka ambil alih kerajaan sehingga akhir tahun berkenaan.

“Sepatutnya, tuntutan GST untuk April dan Mei 2018 dibayar balik pada Mei dan Jun 2018 tetapi PH tak bayar satu sen pun,” tambah beliau.

Terdahulu, Najib menegaskan kerajaan BN pimpinannya tidak melakukan sebarang kesalahan dengan memasukkan terus kutipan GST ke akaun Kumpulan Wang Disatukan seperti diperuntukkan undang-undang.

Sebelum ini, Guan Eng mendakwa kerajaan BN menyalahgunakan RM19.4 bilion untuk pembayaran balik GST, tetapi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Isnin lalu mengesahkan tiada wang tuntutan bayaran balik GST yang hilang.

Prosiding tuntutan tunggakan bayaran balik GST itu dimulakan pada 12 September tahun lalu.

PAC memanggil semua pihak berkepentingan dalam isu itu termasuk Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Akauntan Negara.

PAC turut mendapat taklimat Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST, selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST.

PAC mengesyorkan kerajaan memastikan pematuhan penuh undang-undang dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti – MalaysiaGazette