SERDANG – Pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengenepikan kepentingan diri sendiri dan kekal memperjuangkan bangsa, agama dan tanah air.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedudukan dalam kerajaan bukan bermakna kemudahan untuk mendapat jawatan dan keistimewaan tertentu.
Tegasnya jawatan yang digalas harus digalas dengan amanah dan bukan sekadar mahukan jawatan dan keuntungan dirinya sekiranya tidak mahu ditolak rakyat.
“Apabila kita dapat kemerdekaan sudah tentu kita perlu isi jawatan dalam kerajaan, ada jadi perdana menteri, ada yang perlu jadi timbalan perdana menteri, ketua menteri, menteri besar dan sebagainya, tidak dapat tidak (sudah tentu) ada mereka yang perlu dibayar gajinya, diberi kehormatan.
“Apabila ini berlaku timbullah perasaan dalam kalangan ramai orang Melayu yang berbakat bahawa mereka juga ingin mendapat nikmat bagi diri sendiri daripada perjuangan politik.
“Orang Melayu mula perasaan bahawa keahlian mereka, kepimpinan mereka dalam parti boleh diguna untuk kepentingan diri.
“Tidak mungkin kita ada 100 perdana menteri, semuanya dapat gaji besar dapat naik kapal terbang percuma. Kalau itu perjuangan kita percayalah kita tidak akan dapat bertahan seminggu pun, orang (rakyat) akan tolak kita kerana kita akan dipandang jijik,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Perhimpunan Agung Khas parti itu di hadapan 1,215 perwakilan yang hadir di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Beliau berkata demikian mengingatkan semua ahli parti agar menceburkan diri dalam parti politik dengan niat yang bersih.
Beliau selain itu menyebut tentang bagaimana UMNO dilihatnya bermula dengan parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara selepas kemerdekaan namun berubah hala tujunya kerana sikap pemimpin.
Justeru itu jelas beliau, demi memastikan perjuangan setiap ahlinya sentiasa berada di landasan yang betul maka Bersatu melihat wujudnya keperluan untuk meminda perlembagaan.
“Sebuah parti perlu ada perlembagaan supaya kita dapat susun diri untuk menjayakan perjuangan kita. Tanpa susunan rapi dengan jawatan-jawatan, tanggungjawab-tanggungjawab tertentu sudah tentu parti kita tidak dapat bergerak. Pindaan ini adalah semata-mata untuk memberi kekuatan kepada parti supaya dapat berjuang secara tersusun dan rapi,” tambahnya.-MalaysiaGazette