SERDANG- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar semua 1,215 perwakilan yang hadir hari ini menyokong penuh cadangan untuk meminda perlembagaan.
Jelas beliau, barisan kepimpinan telah meneliti terlebih dahulu kesemua cadangan sebelum ia dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas hari ini.
Walau bagaimanapun ujar Muhyiddin, mana-mana perwakilan tidak dihalang untuk menyuarakan pandangan berhubung pindaan yang dibuat demi kepentingan parti.
“Harapan kami bila usul dan pindaan dicadang oleh timbalan presiden, harap semuanya yang dibentang diterima dan diluluskan.
“Boleh beri pandangan, kita dah teliti semasaknya dan cadangan dikemukakan penting dan perlu. Harap diberi sokongan padu perwakilan hari ni,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Perhimpunan Agung Khas Bersatu demi meminda perlembagaan parti itu.
Dalam masa yang sama beliau berkata, perlembagaan yang akan dipinda hari ini bakal mengalami perubahan pada masa akan datang mengikut keperluan.
Menurut Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin ianya tidak muktamad berikutan kepimpinan perlu melihat senario politik negara dari semasa ke semasa.
“Saya sedar pindaan ini bukan muktamad dan perhimpuan seperti ini tidaklah yang terakhir, kerana untuk masa hadapan kita akan lihat perkembangan baru yang memerlukan kita teliti fasal yang mana difikir tidak sesuai dan perlu perubahan dan tambah baik,”tambahnya.
Usul meminda perlembagaan dalam beberapa fasal akan dibentangkan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Bersatu.-MalaysiaGazette
Terdahulu Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pindaan perlembagaan parti itu dilihat merupakan satu keperluan masa ini demi membolehkan ahli biasa memainkan peranan dalam menentukan semua ahli terlibat dalam pemilihan.-MalaysiaGazette