KUALA LUMPUR – Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua cuba berbohong dengan menafikan usul persendirian Ahli Parlimen pembangkang pernah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.
Pengarah Institut Kajian Politik, Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, sejarah membuktikan banyak kali usul dan Rang Undang-Undang Persendirian pembangkang dibenar bukan sahaja untuk dibentang, bahkan dibahas dan diundi.
“Rang Undang-Undang Persendirian dibentangkan oleh Lim Kit Siang dibahaskan dalam Dewan Rakyat pada 24 Oktober 1977, ialah Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Biro Siasatan Negara, 1973.
“Perbahasan dan pengundian ke atas Rang Undang-Undang Persendirian ini diteruskan pada 25 Oktober 1977,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas rakaman video Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang dimuat naik secara siaran langsung di laman Facebooknya yang mengutuk pembentangan huraian Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 oleh ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, Khamis lalu.
Dalam video berdurasi selama lima minit dua belas saat itu, Tony Pua mendakwa dalam sejarah Malaysia, usul persendirian pembangkang tidak pernah dibenar untuk dibentangkan.
Menurut beliau, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia didakwa bersepakat dengan kerajaan untuk membenarkan RUU355 dibentangkan di Parlimen.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Tony Pua bagaikan beliau tiada pasukan penyelidik sebelum mengutuk RUU355.
“Lebih pelik lagi bila Lim Kit Siang, salah seorang Ahli Parlimen DAP yang mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian pada 1977 dan pada waktu ini adalah Ketua Ahli Parlimen DAP, tidak berbuat apa-apa untuk membetulkan Tony Pua.
“Lebih teruk lagi jika Lim Kit Siang sendiri sengaja menyembunyikan fakta beliau pernah dibenar untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian dalam Dewan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette