KUALA LUMPUR – Pengacara popular, Che Puan Sarimah Ibrahim mengumumkan nama Tunku Sofia Najihah buat bayi sulungnya yang dilahirkan kelmarin.
Menurut Sarimah, 41, dia dan suami sepakat memilih nama cantik dan indah dan mengabadikan nama nenda suami, Tuanku Najihah untuk dijadikan nama tengah anaknya.
Menerusi laman Instagram miliknya, wanita kacukan Melayu-Irish itu turut berkongsi maksud di sebalik nama yang dipilih.
“Alhamdulillah… syukur ke hadrat Illahi Ini masanya untuk memperkenalkan puteri yang kami sayangi.
“YM Tunku Sofia Najihah binti Tunku Nadzimuddin. Namanya membawa maksud kemenangan yang indah dalam Islam. Dia dilahirkan pagi ini pada 19.7.19.
“Kami memilih nama cantik dan indah yang kami suka dan memilih nama nenda suami, Tuanku Najihah untuk dijadikan nama tengahnya,” tulis Sarimah.
Selain itu, Sarimah turut mengucapkan terima kasih buat mereka yang memberikan ucapan tahniah buat dia dan suami.
“Ini adalah hadiah paling bermakna dari Allah untuk kami dan kami rasa sangat bertuah. Terima kasih kerana memberikan kata-kata semangat dan sokongan.
“Sekarang, mummy memerlukan rehat sedikit tetapi kita akan mengemas kini perkembangan terbaharu untuk semua secepat mungkin,” tulisnya lagi.
Sarimah berkahwin dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie pada 2 April 2015. – MalaysiaGazette