KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli disifatkan sebagai individu yang mempunyai masalah kronik serta sering gagal dalam mengatur strategi-strateginya.
Demikian kata Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar apabila menyatakan melayan karenah Naib Presiden PKR itu sebagai satu perbuatan membuang masa.
“Siapa Rafizi? Melayan karenah orang yang ada masalah kronik dalam mengatur strategi yang sentiasa gagal, adalah satu perbuatan amat membuang masa dan anti-logik,” katanya menerusi kenyataan seperti dilapor sebuah laman portal pro Barisan Nasional.
Ahmad Samsuri berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu yang mendakwa mempunyai bukti dan maklumat mengenai individu yang rapat dengan Pas menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, urusan itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa sahaja.
“Cukup sudah kita mendengar pendustaan yang dicipta untuk tujuan politik Machievelli,” katanya.
Rafizi sebelum ini dilapor berkata, pihaknya ingin menyelitkan perkara itu ketika perbahasan usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, namun sesi berkenaan ditangguhkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Aman Mulia. – MalaysiaGazette