Home Ekonomi Gading Kencana, KUM jalin kerjasama pasang solar PV

Gading Kencana, KUM jalin kerjasama pasang solar PV

Gading Kencana Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan melalui Kelantan Utilities Mubaaraka Holdings Sdn. Bhd. (KUM) untuk memasang solar PV sistem di loji rawatan air (LRA) dan medan telaga.

KUALA LUMPUR – Gading Kencana Sdn Bhd (GKSB) bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan melalui Kelantan Utilities Mubaaraka Holdings Sdn. Bhd. (KUM) untuk memasang solar PV sistem di loji rawatan air (LRA) dan medan telaga milik syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, GKSB bersama KUM dan AKSB sedang mengkaji LRA dan medan telaga yang sesuai untuk pemasangan solar panel ini.

Menurutnya, tujuan utama pemasangan panel solar itu adalah untuk mengurangkan bil elektrik yang tinggi di LRA dan medan telaga AKSB.

“Dianggarkan sebanyak 7.8MWp kapasiti akan dipasang di loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB di mana ia akan memberikan penjimatan bil elektrik kepada AKSB dalam anggaran RM4 juta setahun bagi kesemua 19 loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB mengikut tarif kategori yang ditetapkan.

“Projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan sepanjang aktiviti pemasangan, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem solar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif KUM, Abdul Rashid Mohd dan Pengurus Kanan Kumpulan KUM, Mahadi Mokhtar mewakili KUM manakala GKSB diwakili Guntor dan Pengarah Pembangunan Perniagaan GKSB, Zalina Yusof.

Hadir dan menyaksikan MoU ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Guntor berkata, tenaga solar adalah sebahagian dari tenaga boleh baharu kerana keupayaannya untuk menjana tenaga tanpa mengeluarkan karbon.

“Dengan pemasangan solar PV Sistem disetiap loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB dapat mengurangkan pelepasan karbon ke udara sebanyak 7,074,393 tCO2,” katanya.

Beliau menambah, MoU itu juga dimeterai untuk menjalinkan kerjasama di antara KUM dan GKSB dalam menjalankan aktiviti pemasangan solar PV sistem di atas bumbung melibatkan 40 buah bangunan kerajaan dan bangunan komersil di negeri Kelantan.

“Kami menjangkakan jumlah perolehan yang akan diperoleh daripada projek ini adalah RM134 juta dan melahirkan 450 pekerja.

“Fasa pertama projek ini akan melibatkan pemasangan solar PV di Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan ia melibatkan tempoh pemasangan selama dua tahun. Ia akan membantu memberikan penjimatan berjumlah RM40 juta setahun ,” katanya.

Tambahnya, selain menumpukan kepada pasaran tempatan, GKSB kini memfokuskan kepada pasaran Asian. – MalaysiaGazette