KUALA LUMPUR – Ketua-ketua cawangan UMNO tidak bodoh seperti didakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka bijak menilai, sabar dan setia dalam perjuangan.
“Harap Tun tak lupa program di MAEPS itu adalah AGM PPBM bukan AGM UMNO,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, kini Mesyuarat Perwakilan 191 UMNO Bahagian sedang berlangsung dengan penuh bersemangat dan harmoni.
Semalam, Mahathir yang juga bekas presiden UMNO selama 22 tahun itu memberi contoh sikap pemimpin cawangan bekas partinya itu tidak membenarkan ‘orang yang lebih pandai daripada menyertai parti’.
“Ketua cawangan tidak membenarkan orang yang lebih pandai daripadanya menyertai parti. Yang boleh menyertai cawangan itu adalah orang yang lebih bodoh.
“Tetapi mereka tidak boleh hidup selamanya, bila mati pemimpin cawangan itu penggantinya lebih bodoh,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu.
Ahmad Zahid berpendapat, adalah elok sekiranya Dr. Mahathir bermuhasabah dan berusaha berhenti daripada diperbodohkan oleh DAP.
“Elok sekiranya berpisah kongsi dengan DAP. Parti itu menjadikan PH sebagai boneka mereka,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menginggatkan Dr. Mahathir bahawa beliau pernah meminpin parti itu suatu masa dahulu.
“1980an,90an,2000an,2010an….bawah siapa ya? ….jgn jadi YG DIPERBODOHKAN DAP,” katanya. – MalaysiaGazette