Saturday, February 1, 2025
Home Sukan Pulau Pinang tak layak ke Liga Super

Pulau Pinang tak layak ke Liga Super

KUALA LUMPUR – Kegembiraan Pulau Pinang untuk beraksi di kancah Liga Super musim depan terencat gara-gara melakukan kesilapan dalam menyemak kadar tukaran mata wang asing.

Harimau Kumbang sepatutnya layak ke Liga Super 2020 selepas menamatkan kempen Liga Perdana di tangga ketiga.

Bagaimanapun mereka dikenakan penolakan enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu tunggakan gaji membabitkan bekas import, Reinaldo Lobo yang menyertai Harimau Kumbang dari 2015 hingga 2017.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, FIFA telah menghantar surat Jawatankuasa Tatatertib badan induk tersebut pada 25 Mac lalu agar FAP membayar Reinaldo Lobo sebanyak AS$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus.

FIFA juga telah mengenakan denda tambahan sebanyak AS$10,000 (RM41,000) kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang telah diarahkan oleh NDRC FIFA.

“Pada 17 April, FAP telah membuat pembayaran berjumlah AS$92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Reinaldo. Pembayaran tersebut telah dibuat oleh FAP secara terus kepada Reinaldo tanpa melalui FAM.

“Bagaimanapun pada 29 April, peguam Reinaldo telah menghantar surat kepada FIFA yang memaklumkan bahawa telah menerima pembayaran daripada FAP dengan bayaran sebanyak AS$92,597.72.

“Namun, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa pembayaran penuh yang sepatutnya adalah sebanyak AS$97,041.83 (RM399,379.06) iaitu baki bayaran sebanyak AS$4,444.11 (RM18,289) lagi yang perlu dibayar oleh FAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Stuart berkata, pada 28 Jun, FIFA menghantar surat kepada FAM yang memaklumkan bahawa FAP telah gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang telah diberikan. Untuk itu, FIFA menuntut bukti pemotongan 6 mata liga dihantar kepada mereka selewat-lewatnya pada 3 Julai ini.

“FAM telah menghantar surat rayuan kedua kepada FIFA supaya meneliti semula hukuman yang diberikan disebabkan pembayaran tersebut telah dibuat sepenuhnya dan dengan mengambil kira langkah-langkah proaktif yang telah diberikan oleh FAP dalam menyelesaikan baki tunggakan tersebut.

“Namun pada 17 Julai, FAM telah menerima surat daripada FIFA yang memaklumkan bahawa hukuman pemotongan enam mata terhadap FAP itu perlu dibuat selewat-lewatnya sebelum 22 Julai kerana walaupun pembayaran telah diselesaikan sepenuhnya akan tetapi FAP telah melanggar perintah FIFA yang mengarahkan pembayaran penuh perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan asal,” katanya lagi.

Penolakan enam mata menyebabkan Pulau Pinang jatuh ke tangga ketujuh dan pasukan yang menggantikan mereka ke Liga Super adalah PDRM selepas naik ke kedudukan ketiga. – MalaysiaGazette

+ posts