Home Utama Kesetiaan kita ada batasnya, bukan boleh cucuk hidung – Azmin

Kesetiaan kita ada batasnya, bukan boleh cucuk hidung – Azmin

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menahan sebak ketika mengaminkan doa pada Majlis Doa Selamat sempena kemenangan menolak politik fitnah terhadap Azmin Ali di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan bahawa kesetiaannya kepada pucuk pimpinan parti itu mempunyai batasnya dan tidak membuta-tuli hingga menggadaikan prinsip perjuangannya.

Beliau berkata, walaupun pemimpin yang diperjuangkan itu dikenalinya sejak 20 tahun lalu dalam PKR, namun beliau tidak sesekali akan menggadaikan prinsip keadilan dan kebenara.

“Apa dosa saya? Dosa saya hanya satu saja, saya ini bukan boleh cucuk hidung, bukan boleh diheret begitu saja, saya berpegang kepada prinsip.

“Biarpun saya sebatang kara, biarpun saya berdepan dengan orang ataupun manusia yang pernah saya kenali sebelum ini, tetapi kesetiaan kita ada batasnya.

“Saya setia kepada kebenaran dan keadilan dan saya akan tetap perjuangkannya, bukan untuk keluarga saya, tapi untuk rakyat Malaysia, umat Islam dan orang Melayu mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Doa Kesyukuran di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini, malam ini

MGF21072019_DOA SELAMAT AZMIN63
Suasana ketika Majlis Doa Selamat sempena kemenangan menolak politik fitnah terhadap Azmin Ali di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

Semalam, Mohamed Azmin dipercayai tidak hadir susulan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkannya bercuti jika terbukti terbabit dalam video lucah yang disebarkan baru-baru ini dan tidak perlu bercuti sekiranya video itu tidak sahih.

Mohamad Azmin turut memberi reaksi balas dengan meminta Anwar bermuhasabah dan mencermin diri.

Sehingga jam 9.15 malam pada Sabtu, Mohamed Azmin tidak kelihatan hadir ke program berkenaan walaupun sepatutnya hadir pada jam 8.30 malam.

Beliau juga melahirkan rasa bersyukur apabila Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengumumkan bahawa beliau bukan pelaku dalam video seks di luar tabii yang tersebar sejak 11 Jun lalu.

“Hari ini terbukti pihak berkuasa polis telah pun mengumumkan saya tidak bersalah dan saya bukanlah pelaku di dalam fitnah itu.

“Malahan Ketua Polis Negara sendiri telah mengesahkan ada tangan-tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu dan jutaan ringgit untuk menjatuhkan saya.

“Ayuh, saya tidak mahu mendiamkan diri kerana kita tidak perlukan manusia seperti ini untuk memimpin kita,” tegasnya.

Beliau turut kesal apabila pemimpin yang diperjuangkan sejak 20 lalu didakwa sanggup melakukan pembunuhan karier politiknya kerana nafsu serakah mengejar kedudukan.

“Kita kena yakin dengan Allah SWT, kita boleh rancang untuk jatuhkan seseorang, kita boleh aibkan dan hina seseorang, ingat wahai mereka yang terlibat.

“Kamu boleh rancang, kamu ada ratusan ribu ringgit, kamu ada taukeh-taukeh, tapi perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia yang cuba meruntuhkan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette