LISBON – Lapan anggota bomba dan 12 orang awam cedera dalam kebakaran hutan yang berlaku di tiga kawasan di Castelo Branco, di tengah Portugal.
Seorang mangsa yang terbakar teruk terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter.
Beratus-ratus anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran hutan di kawasan gunung di tengah Portugal.
Setakat ini bomba berkata, kebakaran di dua kawasan sudah dapat dikawal namun api masih aktif, kata Menteri Dalam Negeri, Eduardo Cabrita.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan untuk mengesan punca kebakaran tercetus.
“Ada sesuatu yang pelik. Bagaimana lima kebakaran besar berlaku di kawasan yang berhampiran antara satu sama lain,” kata Cabrita.
Tentera Portugis bersama jentera dihantar ke kawasan kebakaran bagi membuka laluan untuk bomba.
Kebakaran bermula Sabtu petang dan merebak cepat ekoran angin kencang.
Penduduk setempat telah dikeluarkan dan jalan-jalan utama ditutup.
Kebakaran adalah masalah tahunan di Portugal, disumbangkan oleh cuaca panas, kawasan hutan tebal dan angin kuat dari Atlantik. – MalaysiaGazette