KUALA LUMPUR – Pelakon senior, Jasmin Hamid meluahkan rasa tidak puas hati selepas menjamu selera di sebuah restoran mamak di Subang Jaya semalam.
Menerusi Instagram miliknya, dramatis itu terkejut apabila harga sepinggan maggi goreng sotong yang dipesannya dikenakan harga melampau.
“Saya biasa juga makan dekat kedai mamak tapi harga tak adalah cekik darah macam ini.
“Maggi goreng sotong berharga RM9.20 tetapi sotongnya cuma dua ketul. Bila dah komplen, baru tambah lagi lima ketul sotong yang bersaiz sebesar kuku,” dakwanya sambil menambah restoran nasi kandar terbabit terletak di USJ, Subang Jaya.
Sementara itu, Jasmin turut mempersoalkan tentang keberkatan dalam menjalankan perniagaan dengan mengenakan kadar harga yang tinggi kepada pengguna.
“Jadi jumlah sotong cuma tujuh ketul. Ingatkan Shah Rukh Khan yang masakkan sebab itu jadi mahal tapi Shah Rukh Khan tu yang masak dengan harga cekik darah.
“Kadang terpaksa makan dekat kedai sebab sibuk tapi tak sangka pula harga cekik darah macam ini.
“Macam mana nak dapat duit berkat bila berniaga begini. Hari ini memang rezeki untuk kedai ini.
“Lepas ini memang tak datang lagi lah jawabnya. Makanan tak setanding dengan harga dan rasa,” kongsinya lagi.
Jasmin turut berasa simpati kepada golongan yang kurang berkemampuan namun terpaksa berhadapan dengan situasi sedemikian.
“Saya bayangkan macamana agaknya pada mereka yang tak berapa kemampuan, kena bayar harga yang tak setanding dengan makanan yang di jual.
“Sudah lah tiada tanda harga. Bil pun kena minta, baru dapat,” katanya. – MalaysiaGazette