BUSAN – Sebuah kapal kargo Korea Selatan diserang lanun berhampiran Selat Singapura awal pagi ini, kata para pegawai kerajaan.
Lanun yang bersenjata senapang dan senjata lain menyerang kelasi kapal CK Bluebell pada jam 4.25 pagi tadi ketika ia berada kira-kira 100 kilometer dari pintu masuk selat tersebut, menurut pegawai Kementerian Hal Ehwal Maritim dan perikanan.
Mereka melarikan wang tunai berjumlah AS$13,000, lapor agensi berita, Yonhap.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu, kata pegawai terbabit sambil menambah beberpa kelasi mengalami kecederaan ringan seperti lebam semasa berhadapan dengan lanun tersebut.
Selain wang tunai, terdapat kelasi yang kehilangan barangan peribadi termasuk telefon bimbit, pakaian dan kasut, tambah mereka.
Kapal CK Bluebell dalam perjalanan ke Incheon selepas
meninggalkan Brazil bagi meneruskan pelayaran biasa selepas serangan itu, kata mereka.
“Pada kebiasaannya kapal kargo belayar pada kelajuan di bawah 15 knot. Bagaimanapun bot laju yang digunakan lanun mendekati kapal kargo itu pada kelajuan melebihi 20 knot.
“Selepas itu, tujuh orang lanun yang bersenjata menaiki kapal dan menyerang kelasi selama 30 minit,” kata pegawai kementerian itu. – Agensi