PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta merta melakukan siasatan terhadap penjualan gula-gula yang mengeluarkan asap dikenali ‘Ghost Smoke’.
Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, dalam masa yang sama pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam usaha mengenalpasti punca gula-gula itu dipasarkan.
“Bahagian Kualiti Makanan KKM telah digerakkan dan penguatluasaan akan dilakukan dalam waktu yang sama juga bekerjasama dengan KPDNHEP kita akan atasi segera perkara ini.
“Kita juga minta penjelasan dari semua pihak pembekal dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.
Katanya, keputusan sama ada gula-gula itu akan diharamkan akan diputuskan selepas siasatan selesai.
Semalam tular rakaman video di laman media sosial, Facebook mengenai gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dijual kepada murid sekolah di Papar, Sabah. – MalaysiaGazette