Home Nasional TMM 2020 mampu sasar 30 juta pelancong

TMM 2020 mampu sasar 30 juta pelancong

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Pelancaran Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2019

SEPANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyasarkan negara mampu mencapai RM100 bilion perbelanjaan pelancong dalam kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM2020) yang bermula tahun depan.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kempen itu diharap mencapai sasaran kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, kerajaan perlu berusaha lebih untuk mempromosikan Malaysia di negara lain termasuk ASEAN, China, India, United Kingdom (UK) dan Jerman.

“Kejayaan Melawat Malaysia 2020 juga bergantung kepada promosi yang berkesan. Selain itu, sektor pelancongan juga perlu bergerak seiring dengan transformasi digital yang menekankan pemasaran digital,” katanya dalam ucapan perasmian logo Tahun Melawat Malaysia 2020, hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha membangunkan industri pelancongan dan meningkatkan kedudukan di peringkat antarabangsa.

“Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 21 antara negara yang mempunyai pendapatan pelancongan yang tinggi, dengan memperoleh RM84.1 bilion seperti diumumkan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang disiarkan dalam Laporan Barometer pada Mei lalu,” katanya.

Mahathir turut berkata kejayaan sasaran ini sangat bergantung kepada pelaksanaan promosi yang efektif yang perlu dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Katanya lagi, sekiranya sektor industri pelancongan ingin kekal kompetitif, ia perlu bergerak seiring transformasi digital dengan menekankan kepada pemasaran digital menggunakan pelbagai platform media sosial.

“Untuk memastikan TMM2020 menjadi satu kejayaan, ayuh kita jadikan ia sebagai misi peringkat nasional.

“Justeru, saya menyeru semua pihak, rakyat dan rakan-rakan, untuk membantu kita menjayakan kempen dan berkongsi kepada semua, tentang kecantikan, keamanan dan keindahan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette