KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan ada pihak cuba memperalatkan beliau sebagai Perdana Menteri bagi menyingkirkan seorang menteri Kabinet.
Dr Mahathir, berkata penyebaran empat video lucah yang didakwa mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu juga bertujuan untuk membunuh karier politik seseorang.
“Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor.
“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tanpa menyebut nama pihak yang terbabit, Dr Mahathir turut berkata, ada pihak berharap beliau mengambil tindakan terhadap tuduhan itu namun tidak berbuat demikan kerana landasan agama.
“Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa.
“Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini.
“Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip,” katanya lagi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada penyebaran jenayah video seks membabitkan Azmin.
Sebelum ini Dr Mahathir berkata, ia adalah pakatan untuk menjatuhkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
Bulan lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dirinya individu dalam video seks tersebut dan mendakwa Azmin sebagai rakan perlakuan lucah berkenaan.
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menafikan tuduhan itu sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerja politiknya. -MalaysiaGazette