KUALA LUMPUR – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki bertanya mana perginya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Kelibat Maszlee menjadi pertanyaan Ketua Pemuda UMNO itu kerana beberapa isu besar mengenai masa depan pendidikan negara telah dijuarai oleh timbalannya, Teo Nie Ching.
Sebelum ini, dakwa Asyraf, Nie Ching bercakap mengenai kajian semula kurikulum pendidikan Islam dan terbaharu mengenai keperluan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil.
“Di manakah perginya Menteri YB Dr Maszlee Malik? Tempoh hari isu mengkaji semula kurikulum pendidikan Islam juga dikeluarkan oleh Timbalan Menteri DAP ini. Hari ini isu besar melibatkan masa depan sistem pendidikan negara juga nampaknya dijuarai Timbalan Menteri.
“Apa pandangan saudara saudari mengenai keperluan ditubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Tamil) ini?,” soal Asyraf.
Semalam, Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat India.
Menurutnya, kementerian itu telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut perkara itu.
Nie Ching berkata, cadangan ini memerlukan kajian yang teliti dan holistik supaya penyelesaian jangka masa panjang dapat diperoleh dan penubuhan sesebuah sekolah menengah tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 30 dan 31 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). – MalaysiaGazette