Home Nasional Bayaran OT cecah RM27 bilion jika waktu kerja maksimum dikurangkan

Bayaran OT cecah RM27 bilion jika waktu kerja maksimum dikurangkan

PETALING JAYA – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menentang pindaan undang-undang untuk mengurangkan waktu kerja maksimum seminggu daripada 48 jam pada masa ini kepada 44 atau 45 jam.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pindaan itu akan menyebabkan majikan menanggung kos kerja lebih masa untuk pekerja sekurang-kurangnya RM27 bilion setahun.

Beliau berkata, pengurangan waktu kerja kepada 44 atau 45 jam seminggu akan memberi impak terbesar buat industri kecil dan sederhana.

“Ini bermakna perusahaan perlu membayar kerja lebih masa bernilai tiga jam kepada pekerja jika undang-undang berkenaan dipinda dan waktu kerja dikurangkan.

“Jika dihitung, ia akan memaksa majikan membayar tambahan RM27 bilion sebagai gaji kepada pekerja,” katanya kepada Sinchew Daily.

Selain PKS, restoran makanan segera, hospital, syarikat bas dan hotel yang beroperasi 24 jam sehari juga menerima impak.

Beliau berkata, perusahaan 24 jam yang melaksanakan tiga syif sehari akan berdepan isu jika tempoh kerja maksimum seminggu ditetapkan kurang daripada 48 jam seminggu atau kurang lapan jam sehari.

“Untuk menyelaraskan masa kerja, majikan perlu menyediakan bayaran kerja lebih masa.

“Keadaan ini juga menyulitkan majikan kerana pekerja boleh menolak untuk bekerja lebih masa,” katanya.

Shamsuddin berkata, tempoh kerja 48 jam seminggu memenuhi ketetapan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)  dan kebanyakan negara ASEAN juga menggunakan standard itu. – MalaysiaGazette