KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Sibu dijangka beroperasi semula pada tengah hari esok dan bukannya seperti dijadualkan 10 malam ini.
Sehubungan itu semua penerbangan awal esok akan dibatalkan.
The Star yang memetik Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, penangguhan operasi itu berikutan kerja-kerja pembaikan yang dijalankan di landasan selepas sebuah pesawat MAS tergelincir semasa mendarat disebabkan hujan lebat.
Katanya, lapangan terbang itu tidak boleh dibuka kerana terdapat beberapa lubang pada landasan yang perlu diselenggarakan.
“Kita perlu terus menutup landasan dan lapangan terbang itu hanya dapat beroperasi semula pada tengah hari. Kerja-kerja pembersihan akan dimulakan pada malam ini.
“Ia adalah sebahagian daripada proses memastikan keselamatan penumpang. Kami mengeluarkan NOTAM (Notis kepada Airmen) untuk menasihati syarikat penerbangan berikutan penutupan itu,” katanya.
Penutupan Lapangan Terbang Sibu mengakibatkan penangguhan 28 pesawat MASwings, AirAsia (16) dan MAS (4) membabitkan 3,787 penumpang. – MalaysiaGazette