KUALA LUMPUR- Defisit fiskal negara menyusut sebanyak 39 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini kepada RM21.4 bilion berbanding RM35 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kerajaan juga berjaya mengurangkan defisit akaun semasa kepada RM1.1 bilion atau 94 peratus berbanding RM17.1 bilion yang direkodkan sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun lepas.
Jelasnya, tender terbuka yang kompetitif dan belanjawan asas-sifar telah memberikan kesan positif kepada keadaan kewangan kerajaan.
Ini membolehkan perbelanjaan pembangunan dinaikkan setinggi 13 peratus atau RM2.4 bilion untuk lima bulan pertama 2019, berbanding tempoh yang sama 2018.
Justeru, kerajaan menurut Guan Eng yakin sasaran defisit fiskal sebanyak 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dicapai dan dalam masa sama memastikan imbangan akaun semasa berada dalam keadaan lebihan tahun ini.
Malah, sekiranya tiada perang perdagangan antara dua rakan dagang Malaysia yang terbesar, iaitu Amerika Syarikat dan China, Kementerian Kewangan percaya Kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit serendah tiga peratus berbanding KDNK bagi tahun 2020, tambahnya.
“Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari perbelanjaan subsidi yang ditanggung dan akan terus menguruskan perbelanjaan secara berhemat.
“Usaha konsolidasi fiskal yang berjaya adalah antara faktor-faktor yang meyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa Fitch Ratings untuk mengesahkan semula penarafan kredit berdaulat pada A- dengan unjuran stabil pada 18 Julai 2019.
“Ini berikutan pengesahan semula yang sama oleh S&P Global Ratings pada 3 Julai 2019.
“Disiplin fiskal telah pun diketatkan dengan gabungan kawalan lebih ketat terhadap perbelanjaan mengurus, melalui penggunaan tender terbuka yang kompetitif dengan lebih meluas serta pengenaan belanjawan asas-sifar.
“Selain itu, langkah-langkah pembaharuan pendapatan dan perbelanjaan lain yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2019 juga telah membantu dalam memulihkan kewangan Kerajaan.
Menurut Guan Eng, kerajaan memperuntukkan RM259.9 bilion untuk tujuan pengurusan tahun ini dan daripada jumlah itu, 41 peratus daripadanya atau RM106.5 bilion telah pun dibelanjakan dalam tempoh Januari- Mei 2019.
“Kerajaan berada di landasan yang betul untuk memulihkan kembali keadaan kewangan kerajaan selewat-lewatnya pada tahun 2021.
“Dengan sokongan rakyat, Malaysia berpotensi besar untuk menyelesaikan masalah legasi hutang dan liabiliti yang tinggi serta kegagalan tadbir urus yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama,” katanya.
Menurut Guan Eng, ekonomi negara akan berkembang mapan pada tahun ini dan 2020.- MalaysiaGazette