Home Nasional Shamsubahrin mahu JPJ ‘tangkap’ pemandu teksi tipu pelancong

Shamsubahrin mahu JPJ ‘tangkap’ pemandu teksi tipu pelancong

Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media khas mengenai kerajaan jangan pandang remeh isu pemandu teksi berdemo di Wisma Central, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dicabar untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemandu teksi yang mengenakan caj tambang tidak munasabah dan tidak menggunakan meter khususnya kepada pelancong asing.

Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd; Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa, walaupun banyak laporan polis telah dibuat vnamun sehingga kini pemandu teksi terbabit masih bebas dan terus melakukan pelbagai salah laku termasuk mengugut pelancong asing.

“Mereka ini letak harga tak ikut meter, harga tambang tak munasabah sehingga memaksa pelancong membayar tambang tinggi. Sekiranya pelancong sampai dan masuk teksi dia, mereka dibawa ke destinasi, sampai sana dia ugut.

“Ada yang pakai pisau, ada yang kunci kempat-empat pintu tak bagi pelancong keluar dari teksi.

“Pelancong sudah buat banyak laporan polis, setakat ini kita tak nampak apa-apa tindakan dibuat pihak polis terhadap laporan-laporan yang telah dibuat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Shamsubahrin juga mendakwa, penipuan tambang teksi bukan perkara baru malah ia berleluasa sejak zaman Barisan Nasional (BN) lagi kerana JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) gagal menjalankan penguatkuasaan.

“JPJ perlu menangkap semua pemandu teksi tepi jalan yang menipu rakyat atau pelancong. Di mana penguatkuasaan? Kerajaan boleh cakap mengenai regulasi di Parlimen tapi mana penguatkuasaannya.

“Rakyat dan pelancong ditipu secara berleluasa kerana dia tahu penguat kuasa kita gagal, lemah untuk mengambil tindakan. Siapa yang kena? Bukan pemandu teksi, pemandu teksi yang untung, yang rugi rakyat dan kerajaan.

“Kita ada Malaysia Baru, Pakatan Harapan (PH) diletakkan sebagai kerajaan untuk perubahan.

“Apa perubahan yang (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke buat? Tak ada, lagi baik kita sokong BN,” katanya.

Shamsubahrin turut menegur Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) agar membela pemandu teksi di Malaysia.

Shamsubahrin berkata, ini kerana Petekma mempunyai agenda peribadi dengan Kementerian Pengangkutan.

”Kita difahamkan (Petekma) amat rapat dan baik dengan Kementerian Pengangkutan. Bagi saya, apa yang berlaku antara Petekma dengan Kementerian Pengangkutan saya ambil pendekatan mudah.

”Jangan menderhaka terhadap pemandu teksi yang selama ini telah menyokong Petekma. Pemandu teksi ini boleh jadi orang miskin, golongan berpendapatan rendah (B40) dan anda tidak seharusnya menghianati mereka,” katanya.

Shamsubahrin berkata, Petekma sebagai sebuah pertubuhan teksi seharusnya membela pemandu teksi.

“Saya mahu bagi tahu Petekma hari ini. Dia suka saya tak suka saya, saya tak peduli. Apa yang saya peduli semua pemandu teksi di Malaysia harus dibela,” katanya lagi. – MalaysiaGazette