Home Sukan Ozil, Kolasinac diserang perompak bersenjata pisau

Ozil, Kolasinac diserang perompak bersenjata pisau

LONDON – Pemain Arsenal, Mesut Ozil dan trakan sepasukannya, Sead Kolasinac terselamat daripada cubaan perompak yang bersenjata pisau untuk mencuri kereta Ozil di utara London, lapor media Britain.

Laman sesawang The Daily Mail berkata, kejadian berlaku ketika bekas pemain tengah pasukan Jerman itu sedang memandu kereta Mercedes apabila penunggang motosikal yang memakai topi keledar mengepungnya.

Rakaman video menunjukkan pemain pertahanan Bosnia, Kolasinac yang merupakan penumpang berada di luar kenderaan dan berhadapan dengan penyerang itu, lapor Reuters.

Sekeping gambar menunjukkan Ozil sedang bercakap dengan anggota polis di luar restoran Turki. Akhbar tersebut berkata, pelayan dan tukang masak berkejar ke arah pemain bola sepak itu untuk memberi bantuan.

“Ozil kelihatan sangat-sangat takut, orang lain juga (akan takut) selepas dikejar oleh lelaki yang bersenjatakan pisau.

“Kelihatan dia berlari untuk menyelamatkan diri,” kata saksi, Azuka Alintah kepada laman sesawang itu.

Arsenal berkata, kedua-dua pemain itu berada dalam keadaan selamat dan insiden tersebut adalah ‘perkara peribadi’.

Polis berkata, mereka bergegas ke lokasi pada pukul 5 petang waktu tempatan selepas menerima laporan cubaan merompak.

“Dilaporkan suspek yang menaiki motosikal cuba merompak seorang lelaki yang memandu sebuah kereta.

“Pemandu di samping penumpang berjaya melarikan diri tanpa dicerderakan dan pergi ke sebuah restoran di Golders Green di mana mereka bercakap dengan anggota (polis). Tiada tangkapan dilakukan. Siasatan diteruskan,” kata seorang jurucakap. – Agensi